
Jose Manuel Albares – Foto: Agensi
BRUSSELS – Sepanyol, Slovenia dan Ireland menggesa Kesatuan Eropah (EU) supaya mempertimbangkan penggantungan perjanjian kerjasama dengan Israel, menurut Menteri Luar Sepanyol, Jose Manuel Albares.
Beliau berkata, ketiga-tiga negara itu telah secara rasmi meminta agar isu penggantungan Perjanjian Perkongsian antara Kesatuan Eropah dengan Israel dibincangkan dalam mesyuarat menteri luar EU yang berlangsung di Luxembourg pada Selasa.
“Sepanyol, bersama Slovenia dan Ireland, telah memohon agar penggantungan Perjanjian Perkongsian antara Kesatuan Eropah dengan Israel dibincangkan serta diperdebatkan hari ini,” katanya.
Permintaan itu mencerminkan tekanan yang semakin meningkat dalam kalangan negara anggota EU terhadap hubungan blok tersebut dengan Israel, khususnya dalam konteks perkembangan konflik semasa di Asia Barat.
Bagaimanapun, sebarang keputusan berhubung penggantungan perjanjian itu memerlukan persetujuan bersama negara anggota EU dan dijangka menjadi antara agenda penting dalam pertemuan berkenaan. – Agensi



