Dua kali masuk ICU kerana Covid-19 jadi pengalaman paling pahit – Utusan Digital

Dua kali masuk ICU kerana Covid-19 jadi pengalaman paling pahit – Utusan Digital

RAWANG: Pengalaman pahit ketika dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) sebanyak dua kali 29 Januari lalu akibat dijangkiti Covid-19, adalah pengalaman hidup yang tidak dapat dilupakan oleh anggota penguat kuasa di sebuah pihak  berkuasa tempatan (PBT) di Lembah Klang.

Sebelum ini, Ahmad Muzambique Hamzah,47, dari Bandar Tasik Puteri di sini, tidak menyangka dia  dijangkiti  penyakit tersebut, kerana sentiasa menjaga prosedur operasi standard (SOP) tidak kira di rumah mahupun semasa bertugas.

Beliau berkata, sebelum dijangkiti dan dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh (HSB), isterinya, Asmaili Wahab, 46, yang bertugas sebagai Ketua Jururawat Wad Covid-19 hospital sama  terlebih dahulu menerima rawatan akibat dijangkiti penyakit tersebut.

“Semasa isteri saya dimasukkan ke wad, saya dan tiga anak turut membuat ujian calitan tetapi kami semua negatif. Oleh kerana isteri di dalam wad saya yang menjaga tiga anak yang berusia 6,10 dan 15 tahun.

“Suatu hari saya diserang demam panas hingga mencapai 39 darjah selsius. Oleh kerana ubat yang dimakan tidak berkesan, tanpa berlengah lagi saya terus ke HSB dan dimasukkan ke wad sebelum dirawat di dalam ICU setelah keadaan kesihatan saya semakin merosot dan disahkan dijangkiti Covid-19 tahap empat,”katanya ketika ditemui hari ini.

Ahmad Muzambique berkata, ketiga-tiga anaknya, Mohd. Haiqal Azim,15, Siti Hannah Zulaikha,10, dan Ahmad Harraz Ammar, 6,turut dimasukkan ke dalam wad Covid-19 di HSB selepas disahkan dijangkiti Covid-19 tahap dua, namun kesihatan mereka memuaskan.

Katanya lagi, selepas keluar ICU pada hari ketiga dan ditempatkan di wad Covid-19, doktor mengatakan dia boleh balik memandangkan kesihatannya bertambah baik.

“Namun tiba-tiba, pada hari ke empat pernafasan saya seperti orang yang dilemaskan di dalam air. Sekali lagi saya dimasukkan ke ICU untuk beberapa hari,”katanya.

Mengulas lanjut tempoh penyembuhan dirinya, Ahmad Muzambique berkata, dia berada selama 16 hari di dalam wad dalam keadaan sukar bernafas, tiada selera makan dan mengalami halusinasi yang kronik.

“Apa yang saya buat, setiap hari saya berzikir  dan membaca ayat Al-Quran bagi memperkukuh semangat diri untuk terus hidup walaupun teramat sakit dan payah apabila bernafas. Pesakit satu wad seorang demi seorang keluar sama ada kembali pulih atau menjadi jenazah.

“Hinggalah pada satu hari saya terbersin setelah tidak bersin sekian lama sejak menerima rawatan. Terdapat ketulan darah keluar dari rongga hidung, selepas itu kesihatan saya bertambah baik dan pernafasan saya semakin memuaskan sebelum dibenarkan pulang,” katanya.

Beliau menambah, walaupun masih kurang bermaya dia tetap bersyukur dengan peluang kedua yang  dikurniakan Allah SWT untuk kembali ke pangkuan keluarga.

Nasihatnya hanya satu, iaitu rakyat Malaysia wajib mengambil vaksin sebagai perlindungan untuk diri sendiri dan orang sekeliling kerana Covid-19 tidak mengenal siapa kita dan di mana sahaja. – UTUSAN ONLINE 

Scroll to Top