Dua penagih mengaku beli dadah guna duit i-Sinar

source_img
Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp

MELAKA: Dua penagih yang ditangkap dalam serbuan Op Perdana di Krubong di sini, hari ini mengaku membeli bekalan dadah menggunakan duit i-Sinar yang dikeluarkan pada Januari lalu.

Kedua-dua lelaki berusia 33 dan 36 tahun itu dicekup sepasukan anggota Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Melaka Tengah kira-kira pukul 5 petang dalam keadaan khayal.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, kedua-dua mereka merupakan antara 71 penagih yang ditahan sepanjang empat hari serbuan bermula 20 Mac lalu.

“Hasil soal siasat, dua daripada tujuh individu yang berjaya dicekup hari ini mengakui telah menggunakan sebahagian daripada duit i-Sinar dikeluarkan untuk membeli dadah.

“Selebihnya mereka mendakwa telah digunakan untuk keperluan ahli keluarga dan membeli motosikal,” katanya pada sidang akhbar selepas operasi berkenaan.

Turut hadir ialah Pengarah AADK negeri, Nazir Mohamad dan Penolong Pengarah Cawangan Penguatkuasaan dan Keselamatan AADK negeri, Norliya Darus.

Rahmad menambah, hasil saringan ujian air kencing terhadap suspek turut mendapati positif dadah jenis opiat.

“Kita juga tidak menolak kemungkinan sebenarnya ramai lagi yang ditahan sebelum ini telah menggunakan wang i-Sinar untuk membeli dadah kerana jumlah penagih dicekup meningkat sejak awal tahun ini.

“Pada empat hari lalu, satu serbuan bersepadu turut dilakukan di lokasi sama bersama sepasukan polis dan hari ini, kita dapati masih ada lagi yang membeli serta mengambil dadah,” jelasnya.

Dalam operasi kira-kira tiga jam bermula pukul 3 petang itu, turut diberkas adalah seorang bekas banduan yang baharu dibebaskan daripada penjara dua minggu lalu atas kesalahan dadah.

Mengulas lanjut, Rahmad berkata, sepanjang awal tahun ini, daripada hasil risikan dan aduan orang awam, seramai 240 individu telah ditahan melibatkan operasi di ketiga-tiga daerah di negeri ini dengan 233 daripadanya positif dadah.

Ujarnya, kesemua yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983. – UTUSAN ONLINE