'Kami okay jika anda semua juga okay'

puterialia@hmetro.com.my

USIA bukan penghalang buat kumpulan legenda rock alternatif, Butterfingers, untuk menyajikan persembahan yang sarat dengan tenaga pada hari kedua Konsert Butterfingers 1.2 Milligrams 30, baru-baru ini.

Dianggotai Emmett (vokalis), Loque (gitaris), Kadak (bass) dan Loko (dram), konsert itu menyaksikan kehadiran peminat yang membanjiri ruang acara di Odeon Kuala Lumpur.

Tepat jam 3.15 petang, lampu dalam dewan dipadamkan menandakan konsert bermula, diiringi paparan kiraan detik 15 minit di skrin utama sebelum kesemua anggota band melangkah masuk ke pentas.

Butterfingers membuka tirai persembahan menerusi lagu Naive Sick Chasm yang disampaikan dengan penuh bertenaga oleh Emmett, sambil dibantu oleh Loque dan Kadak sebagai penyanyi latar.

Suasana bertenaga itu diteruskan apabila Emmett melompat di atas pentas sambil peminat mereka dikenali sebagai Royal Butter menyambutnya dengan mengangguk-anggukkan kepala serta melompat gembira.

Persembahan diteruskan dengan selingan instrumental menarik yang menampilkan aksi petikan gitar daripada Kadak, disusuli petikan gitar mengujakan daripada Emmett dan Loque yang terus menggegar dewan.

Mengimbau kenangan awal pembikinan album berkenaan, Loque sempat menyapa penonton dengan selingan santai.

“Selamat petang, Odeon. Balik ke mesin masa. Album kita dalam kenangan 30 tahun yang lepas. Jadi harap semua masih muda kan?” seloroh Loque.

Usai mendendangkan lagu Girl Friday, Emmett pula mengambil kesempatan mengajak peminat menyanyi bersama-sama untuk lagu seterusnya berjudul Me.

“Ini kalau tahu boleh menyanyi sekali ya dan ini antara lagu paling ‘radio friendly’. Terima kasih, hari ini anda semua sangat bermakna buat kami. Semalam pun sama.

“Konsert ini adalah satu pencapaian tersendiri. Cabaran yang kami pilih untuk lunaskan hari ini untuk menjadikannya hebat. Kalau saya tahu saya bakal memainkan lagu ini 30 tahun kemudian, saya rasa saya takkan menjerit sebanyak itu dulu,” kata Emmett.

Dalam berseronok, suasana konsert bertukar syahdu seketika apabila Loque meminta penonton menghadiahkan bacaan surah Al-Fatihah buat Allahyarham adiknya dan bertafakur selama satu minit.

Selesai bertafakur, persembahan diteruskan dengan lagu ikonik Royal Jelly yang disifatkan Loque sebagai lagu ‘killer’ dalam album 1.2 Milligrams, namun dibawakan dengan intro yang sedikit berbeza.

Melihat ragam penonton ada yang berdiri dan duduk, Emmett serta Loque sempat berseloroh memberikan kebebasan kepada peminat untuk menikmati muzik mereka mengikut keselesaan masing-masing.

“Boleh berdiri juga kalau nak atau mungkin anda semua nak santai dengar muzik. Tapi kalau semua gembira, kami okay. ‘Enjoy’,” kata Emmett.

Sebelum menyampaikan lagu Mystery, Loque sempat mengimbau detik awal pertemuannya dengan Emmett selepas tamat persekolahan.

“Saya jumpa Emmett selepas habis SPM (Sijil Peperiksaan Malaysia). Dia sekolah bandar, saya sekolah di pekan.

“Bila balik Kuala Lumpur, kita jumpa Emmett dan kami ligat pusing Kuala Lumpur main lagu ini di ‘Prom Night’ dan ‘Talent Time’. Lagu ini salah satu lagu yang ditulis masa tu,” kata Loque yang disambut dengan sorakan penonton.

Meskipun ruang Odeon tidak padat dengan peminat, namun persembahan mereka tetap padat dengan tenaga dan aura tersendiri, sekali gus membuktikan saiz khalayak bukannya ukuran buat band legenda ini untuk memberikan aksi yang bertenaga.

Secara keseluruhannya, Butterfingers berjaya memukau peminat dengan lebih 10 lagu dari album 1.2 Milligrams dan beberapa lagu rakaman demo yang tidak pernah dipersembahkan secara langsung sebelum ini.

Antara lagu yang dipersembahkan kepada peminat ialah Wet Blanket, Chrome, Sober, Nicc O Tyne, Ugly, To Gather dan In The Calm.

Ternyata, selepas tiga dekad bertapak dalam persada muzik tanah air, magis Butterfingers langsung tidak pudar.

Konsert ini bukan sekadar persembahan pentas biasa, sebaliknya sebuah ‘mesin masa’ yang berjaya membawa ribuan jiwa menembusi ruang nostalgia mereka.

Dari petikan riff gitar sehingga lontaran vokal ikonik, persembahan itu bukan sahaja mengubati rindu peminat, malah membuktikan biarpun usia menginjak, semangat dan identiti rock alternatif ciptaan mereka tetap utuh dalam sanubari peminat setia.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top