Dua terselamat, seorang hilang dihanyut arus



bhnews@bh.com.my

GUA MUSANG: Kegembiraan 20 sekeluarga berkelah di tepi sungai Kampung Pulau Setelu, dekat sini, bertukar tragedi apabila dua daripada mereka hampir lemas dan seorang masih hilang, petang semalam.

Remaja perempuan yang masih hilang dihanyutkan arus deras ketika mandi di Sungai Nenggiri kampung itu, dikenali sebagai Nur Jannatul Alia Mohd Zamri, 13.

Bagaimanapun, kakak mangsa, Nur Ain Mohd Zamri, 16 bersama sepupunya, Nur Asma Kamaruddin, 14, sempat diselamatkan.

Ketika kejadian kira-kira jam 4 petang, keluarga terbabit menaiki tiga bot ke tebing pasir tidak jauh dari kampung itu untuk berkelah sambil mandi.

Zulkifli Seman, 55, berkata dua cucu bersama seorang anak saudaranya turun ke sungai itu untuk mandi di tempat air cetek tetapi berarus deras.

Katanya, dia ketika itu berehat di bawah pokok kayu tebing sungai apabila terdengar tiga mereka melaung meminta tolong ketika dihanyutkan arus.

Dia bergegas terjun ke sungai itu dan sempat menyelamatkan Nur Ain dan Nur Asma.

“Saya cuba menyelamatkan seorang lagi cucu, Nur Jannatul Alia, tetapi dia terus hilang dihanyutkan arus deras,” katanya.

Zulkifli berkata, mangsa mahu berkelah di situ dan ingin mandi di sungai bagi menyejukkan badan berikutan cuaca panas sekarang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Sik Choon Foo, berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) dimulakan sejurus menerima maklumat mengenai kejadian itu, petang semalam.

Bagaimanapun, katanya, operasi yang dihentikan jam 7 malam, disambung semula pagi ini membabitkan anggota polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan penduduk kampung.

“Sehingga jam 3 petang ini mangsa masih gagal ditemui dan operasi masih diteruskan di sekitar lokasi,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link