Tragedi perkelahan 20 sekeluarga

Gua Musang: Kegembiraan 20 sekeluarga berkelah di Sungai Nenggiri dekat Kampung Pulau Setelu di sini, bertukar tragedi apabila tiga daripada mereka hanyut dibawa arus dengan seorang masih hilang.

Dalam kejadian kira-kira 4 petang semalam, Nur Jannatul Alia Mohd Zamri, 13, dikhuatiri lemas, manakala kakaknya, Nur Ain, 16, dan sepupu mereka, Nur Asma Kamaruddin, 14, sempat diselamatkan penduduk.

Mereka bersama keluarga menaiki tiga bot untuk mandi-manda di tepi sungai tidak jauh dari kampung itu.

Datuk Nur Jannatul Alia, Zulkifli Seman, 55, berkata, dua cucu dan anak saudaranya mandi di kawasan yang cetek namun berarus, manakala dia berehat di bawah pokok sebelum terdengar suara mereka meminta tolong.

“Saya terus terjun sungai selamatkan Nur Ain dan Nur Asma tetapi ketika cuba menyelamatkan Nur Jannatul Alia, dia hanyut ke kawasan lebih dalam.

“Pelbagai usaha saya lakukan ketika itu tetapi tidak berjaya menyelamatkannya dan dia terus hilang dihanyut arus,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Menurut Zulkifli, cucunya bersungguh mahu berkelah ke situ dan pertama kali mereka ke sana kerana ingin menyejukkan badan memandangkan cuaca panas.

Katanya, Nur Jannatul Alia juga boleh berenang namun, mungkin gagal mengawal diri apabila dihanyut arus.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata,

operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan sejurus menerima maklumat semalam.

“SAR disambung pagi ini membabitkan polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan penduduk kampung.

“Sehingga 3 petang, mangsa masih belum ditemui dan pencarian akan diteruskan dengan kekuatan lima bot pasukan keselamatan dan lima bot penduduk kampung,” katanya.