Penduduk pangsapuri bimbang keselamatan – Utusan Digital

JOHOR BAHRU: Penduduk pangsapuri di Jalan Permas, Permas Jaya, di sini meluahkan kebimbangan terhadap keselamatan mereka ekoran kejadian tebing runtuh dan bangunan retak yang berlaku di kawasan perumahan mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Penduduk, Vivian Tan berkata, keretakan yang berlaku kira-kira enam bulan lalu itu melibatkan pagar tempat letak kereta serta struktur luar bangunan.

Katanya, tebing berkenaan runtuh September tahun lalu akibat hujan lebat yang mengakibatkan kedalaman kira-kira 10 kaki.

“Lebih membimbangkan apabila lokasi tebing itu berhampiran dengan selekoh jalan utama, sekali gus membahayakan keselamatan orang ramai.

“Akibat daripada runtuhan itu, kawasan luar pagar tempat letak kereta dan beberapa struktur luar bangunan mulai retak.

“Bukan itu sahaja, kita juga dapati ada tiga lubang di sekitar pagar luar pangsapuri ini dipercayai kesan daripada hakisan tanah,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Vivian memberitahu, isu berkenaan diajukan kepada Majlis Bandaraya Johor Bahru dan penghadang telah diletakkan, namun sehingga kini tiada tindakan susulan diambil.

“Kami berharap MBJB dapat ambil tindakan segera, kerana kita lihat tanah semakin mendap dan menurun,” ujarnya yang turut memaklumkan bangunan kediaman itu sudah berusia 23 tahun.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim pula berkata, tindakan segera perlu diambil bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

“Ini masalah rakyat, saya tidak mahu menimbulkan kebimbangan tetapi kita tidak mahu keadaan seperti Highland Towers berlaku di sini.

“Ini kerana ada longkang dibawah tebing, jadi ia turut melibatkan sistem bawah tanah yang mana ia merupakan satu masalah serius,” ujarnya yang turut memberitahu akan membawa perkara itu kepada pengetahuan pihak kerajaan negeri dan agensi terlibat. – UTUSAN ONLINE