Ducati yakin Bagnaia bangkit semula

Ducati yakin Bagnaia bangkit semula

Rom: Ketua pasukan Ducati, Davide Tardozzi menegaskan Francesco Bagnaia tidak berada di bawah tekanan dan pasukan masih percaya kepadanya untuk bangkit semula selepas permulaan musim MotoGP 2025 yang hambar.

Selepas memenangi 11 perlumbaan pada musim 2024, juara dunia dua kali itu masih belum meraih sebarang kemenangan dalam dua pusingan awal 2025.

Bagnaia sekadar menamatkan Grand Prix Thailand di tempat ketiga, 2.398 saat (s) di belakang Marc Marquez, sebelum sekali lagi terlepas podium utama di Argentina apabila ketinggalan 5.5s di tempat keempat di belakang rakan sepasukannya di Ducati.

Kini ketinggalan 31 mata dalam perebutan kejuaraan, Bagnaia menyatakan bahawa dia mungkin akan beralih semula kepada jentera GP24 sepenuhnya pada Grand Prix Americas minggu depan dalam usaha untuk mendapatkan semula rentaknya.

Tardozzi mengakui Ducati masih mencari jawapan mengapa Bagnaia bergelut, terutama pada bahagian hadapan GP25, tetapi yakin pelumba Itali itu akan segera kembali mencabar Marquez.

“Saya baru sahaja bercakap dengan Pecco. Terdapat sedikit masalah kecil pada motosikal yang menyebabkan dia kurang keyakinan di selekoh kiri.

“Tetapi kami percaya kepadanya dan akan memberinya masa satu atau dua perlumbaan lagi. Saya pasti dia akan kembali kepada prestasi sebenar,” katanya kepada TNT Sport selepas GP Argentina.

Tardozzi turut menjangkakan Marquez akan menjadi pilihan utama di COTA, tetapi yakin Bagnaia mampu kembali memberi saingan di Grand Prix Qatar.

“Ya, kami tahu COTA adalah ‘litar impian’ bagi Marc Marquez. Tetapi di Qatar, kami jangka Pecco akan kembali bertarung dengannya untuk meraih kemenangan.

“Ia bukan tugas mudah untuk menyokongnya, tetapi dia masih perlu fokus bagi mendapatkan mata dan tidak membazirkannya. Saya yakin masanya akan tiba untuk dia kembali mengutip mata kejuaraan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top