Seoul: Sekurang-kurangnya tiga anggota bomba dan seorang pegawai awam terbunuh dalam kebakaran hutan di Korea Selatan yang menyebabkan kerajaan mengisytiharkan darurat di kawasan tenggara negara itu, menurut pihak berkuasa pada semalam.
Kebakaran yang bermula di daerah Sancheong pada petang Jumaat menyebabkan 304 anggota penyelamat dikerahkan bersama 20 helikopter, menurut Kementerian Dalam Negeri Korea Selatan.
Lebih 200 penduduk di 15 kampung di selatan diarahkan untuk berpindah, tambahnya.
“Empat orang – tiga anggota bomba dan seorang pegawai awam disahkan maut,” kata seorang pegawai agensi bomba kepada AFP.
Kebakaran hutan turut berlaku di beberapa kawasan lain di seluruh negara dengan 16 kejadian dilaporkan pada Sabtu sahaja, menurut Perkhidmatan Hutan Korea.
Kementerian Dalam Negeri kemudiannya mengisytiharkan darurat di wilayah Ulsan serta Gyeonsang Utara dan Gyeonsang Selatan akibat ‘kerosakan hutan serentak di seluruh negara’.
Agensi hutan mengeluarkan amaran kebakaran tahap ‘teruk’ iaitu tahap tertinggi iaitu di 12 lokasi termasuk wilayah Gyeonsang Utara dan Selatan, Busan serta Daejeon.
Sancheong yang berada di wilayah Gyeongsang Selatan terletak kira-kira 250 kilometer (km) tenggara Seoul.
Beberapa bahagian lebuh raya di rantau itu ditutup sebagai langkah keselamatan, menurut laporan tempatan.
Pemangku Presiden Korea Selatan, Choi Sang Mok mengarahkan agensi berkaitan untuk ‘menggerakkan semua peralatan san tenaga kerja yang ada untuk memadamkan kebakaran dengan segera,” menurut kenyataan pejabatnya.
Sesetengah fenomena cuaca ekstrem mempunyai kaitan yang kukuh dengan perubahan iklim seperti gelombang haba dan hujan lebat.
Fenomena lain seperti kebakaran hutan, kemarau, ribut salji dan taufan pula boleh berpunca daripada kombinasi pelbagai faktor yang kompleks.
© New Straits Times Press (M) Bhd
