SHAH ALAM – Gelagat seorang wanita yang tinggal di pusat jagaan warga emas dan petah berbahasa Inggeris ketika berbual dengan penghuni lain mencuri perhatian ramai apabila video dikongsikan meraih 10 juta tontonan.
Pengurus Pusat Jagaan Sri Mesra (Mesra Home) di Taman Sri Watan, Ampang, Faezah Ali berkata, penghuni berkenaan antara yang sering menjadi perhatian kerana mampu berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dengan penuh keyakinan.
Menurutnya, warga emas terbabit mengalami masalah pendengaran selepas terlibat dalam kemalangan ketika berusia 40 tahun, namun keadaan itu tidak menghalangnya daripada terus berkomunikasi dan menjalani kehidupan dengan ceria.
“Warga emas berkenaan mampu berkomunikasi dengan yakin dan kelihatan lebih bersemangat apabila diajak berbual menggunakan bahasa Inggeris.
“Bila saya rakam dia, dia nampak yakin. Dia tahu dia perlu jaga diri sendiri dan dia bersyukur dapat tinggal di sini,” katanya kepada Sinar Harian.
Pelbagai keletah penghuni termasuk bersembang, bergurau, menyanyi dan mengikuti aktiviti harian turut dikongsikan Faezah menerusi akaun TikTok @Aku Penjaga Nenek.
Salah satu video memaparkan gelagat warga emas itu bersama dua penghuni lain ketika ditanya nama sebelum dia memperkenalkan diri dalam bahasa Inggeris meraih 10 juta tontonan dengan 826,400 tanda suka.
Faezah berkata, setiap penghuni mempunyai karakter dan kisah kehidupan tersendiri, menjadikan rutin harian termasuklah melalui aktiviti ‘Sekolah Kehidupan’ di Mesra Home tidak pernah sunyi daripada gelagat, gurauan dan perkongsian pengalaman.
“Kalau tidak ada rutin, mereka boleh bosan. Jadi kita kena sentiasa tanya mereka apa yang mereka rasa, tukar tajuk dan buat mereka rasa dihargai
“Kadang-kadang kita puji mereka dengan ikhlas. Bila mereka duduk dengan baik atau buat sesuatu dengan elok, kita puji. Mereka terus rasa dihargai,” katanya.

Pelbagai keletah penghuni dikongsikan Faezah menerusi akaun TikTok @Aku Penjaga Nenek.
Menurut bekas jururawat itu, pendekatan berkenaan secara tidak langsung membantu penghuni berasa lebih ceria dan mempunyai tujuan dalam kehidupan seharian.
“Bila kita layan mereka macam itu, kita sendiri akan rasa mereka seperti mak atau nenek kita,” ujarnya lagi.
Beliau berkata, terdapat juga penghuni yang sebelum ini melalui pelbagai ujian kehidupan termasuk masalah kesihatan mental, namun keadaan mereka berubah apabila mendapat sokongan dan perhatian sewajarnya.
Faezah yang sudah 16 tahun menguruskan warga emas berkata, menjaga penghuni bukan sekadar menyediakan makan minum atau tempat tinggal, sebaliknya memerlukan kesabaran, ilmu dan kasih sayang.
“Bila dah sabar, barulah hadir ikhlas. Lepas itu datang kasih sayang yang sebenar dan akhirnya kita akan rasa rindu kepada mereka,” katanya.
Menurutnya, pengalaman menjaga warga emas turut mengajarnya untuk lebih menghargai kehidupan selepas menyaksikan kira-kira 69 penghuni meninggal dunia sepanjang tempoh berkenaan.
Katanya, keadaan itu menyedarkannya bahawa masyarakat perlu bersedia menjaga warga emas kerana setiap individu juga bakal melalui fasa tersebut.
Tambahnya, perkongsian mengenai gelagat penghuni di media sosial bukan bertujuan meraih populariti atau mendapatkan sumbangan, sebaliknya untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan menghargai warga emas.
Beliau turut menulis buku iaitu Bisikan Hati Aku Penjaga Nenek (2020), Cerita Kita Aku penjaga Nenek (2021) dan Coretan Kata Aku Penjaga Nenek (2024) berdasarkan pengalaman serta pembelajaran sepanjang menguruskan warga emas.
Kongsinya, buku dijual pada harga RM50 senaskhah itu antara usaha untuk menampung perbelanjaan penghuni selain menggalakkan masyarakat membaca dan mendapatkan ilmu berkaitan kehidupan.
“Prinsip yang menjadi pegangan ialah ‘Dengan cinta, hidup jadi indah. Dengan ilmu, hidup jadi mudah. Dengan agama, hidup jadi terarah,” katanya lagi.
Menjelang sambutan Hari Warga Emas Sedunia pada Oktober, beliau berharap masyarakat tidak melihat penjagaan warga emas sebagai tanggungjawab keluarga semata-mata, sebaliknya tanggungjawab bersama.
“Jaga orang tua sebenarnya kita sedang belajar menjaga diri kita sendiri. Sebab satu hari nanti, kita juga akan sampai ke usia itu,” katanya.