“Dulu tak tahu batas..” – Hormat isteri, Yusuf Bahrin elak sentuh pelakon wanita

Selepas mendirikan rumah tangga, pelakon Yusuf Bahrin dilihat semakin mendekati agama apabila sering berkongsi posting berunsurkan positif di media sosial.

Menurut laporan mStar Online, pemilik nama Muhammad Yusuf Bahrin itu sempat mengikuti kuliah Dhuha mendengar tazkirah penceramah ustaz Wadi Anuar di Putrajaya.

“Dah lama nak pergi tapi tak ada kesempatan. Saya buat ini kerana Allah sebab buatkan saya sedar kehidupan ni sebenarnya mengingatkan mati dan dan akhirat yang kekal.
“Sebelum ni saya leka dengan dunia sehingga lupa fasal akhirat. Sedangkan kita perlukan bekalan dan persediaan untuk ke sana.” katanya.

Pelakon berusia 29 tahun itu berkata, dia memahami tanggungjawab besar sebagai suami yang juga seorang pemimpin sekali gus cuba membimbing isterinya Zizi Kirana.

“Apabila dah jadi suami, diri sendiri kena betul kerana tak mahu pengikut jadi songsang. Suami adalah cerminan isteri dan isteri akan sedar, dia pun akan ikut.
“Saya bukan nak berdakwah sampai jadi macam ustaz, sekadar mendekatkan diri dengan agama,” jelasnya.

Malah, pelakon drama Perempuan Tanpa Dosa itu juga mempunyai prinsip ingin mengelak daripada menjayakan adegan keterlaluan atau bersentuhan dengan pelakon wanita ketika berlakon.

“Saya ada satu drama ni dah habis penggambaran sebelum PKP hari tu. Masa tu saya belum kahwin dan masih tak tahu (batas pergaulan).
“Saya hanya fikir fasal kerja… jadi benda tu haram, ada scene sentuhan. Tapi sekarang saya dah faham sikit-sikit, saya kena jaga perkara itu.
“Untuk masa akan datang kalau ada babak sentuhan saya akan beritahu pengarah, lagipun saya dah kahwin kena hormat isteri… kalau dialog je tak mengapa,” ujarnya.

Terdahulu, Yusuf berkahwin dengan Zizi yang juga penyanyi di sebuah masjid di ibu negara pada 19 September lalu.

Sumber: mStar Online (Ali Toupan Rajalee)