Bagi mahasiswa hari ini, pembelajaran tidak lagi terhenti sebaik sahaja mereka melangkah keluar dari dewan kuliah.
Daripada mencari bahan rujukan, menyiapkan tugasan, berkongsi fail hinggalah mengadakan perbincangan secara dalam talian, capaian Internet sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan harian mereka.
Keperluan itu berterusan sehingga ke kolej kediaman apabila banyak tugasan dan aktiviti pembelajaran disambung selepas waktu kuliah.
Bagi pelajar Sarjana Muda Kejuruteraan Elektronik Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Afnanudin Rahim, 22, perubahan terhadap capaian Wi-Fi di kampus cukup dirasainya terutama ketika waktu puncak.
“Wi-Fi yang ada begitu stabil, ia satu nikmat. Dulu connection kurang memuaskan terutama pada waktu puncak bila ramai menggunakannya untuk menyiapkan tugasan.
“Jadi saya terpaksa guna data telefon sendiri. Tapi sekarang ia dah berubah, Wi-Fi yang ada sudah mencukupi,” katanya kepada Rotikaya.
Menurut Afnanudin, perbezaan itu turut dirasai apabila perlu melakukan tugasan berkumpulan yang memerlukan mereka berkongsi fail atau mengadakan perbincangan secara dalam talian.
Katanya, data Internet sudah menjadi keperluan utama dalam proses pembelajaran selari dengan peredaran masa.
Di UTeM sendiri, sebanyak 302 titik capaian (AP) tambahan di bawah Fasa 3 siap dipasang pada 27 Ogos lalu, menjadikan keseluruhan 410 AP beroperasi termasuk 108 AP Fasa 2 yang siap pada Jun 2025.
Keperluan terhadap Internet yang stabil bagaimanapun bukan hanya dirasai ketika berada di fakulti atau menghadiri kuliah.
Bagi pelajar jurusan Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Azim Mukhlis, 21, Internet turut menjadi keperluan selepas kembali ke kolej kediaman apabila banyak tugasan disambung pada waktu malam.
“Banyak kerja sebenarnya kami sambung waktu malam. Kadang-kadang ada discussion, kena download fail besar atau tengok video untuk assignment.
“Jadi bila Wi-Fi okay, memang banyak benda jadi lebih mudah dan tak perlu terlalu bergantung pada mobile data,” katanya.
Pengalaman Afnanudin dan Azim memberi gambaran bagaimana capaian Internet yang baik bukan lagi sekadar kemudahan tambahan, sebaliknya sudah menjadi sebahagian daripada keperluan pembelajaran mahasiswa.

Seiring keperluan itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) melaksanakan Projek Wi-Fi di bawah inisiatif Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP) melibatkan 539 lokasi merangkumi institusi pengajian tinggi awam (IPTA) serta institusi latihan kemahiran di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).
Dengan anggaran kos keseluruhan RM663.9 juta, projek itu dilaksanakan bagi memastikan mahasiswa menikmati capaian Internet yang lebih stabil dan menyeluruh untuk pembelajaran, penyelidikan serta kehidupan harian di kampus.
Setakat ini, sebanyak 294 lokasi atau 55 peratus daripada keseluruhan 539 lokasi telah siap dan beroperasi.
Pelaksanaan Fasa 1 dan Fasa 2 IPTA pula telah siap sepenuhnya melibatkan 191 lokasi, manakala pelaksanaan Fasa 3 IPTA serta Fasa 3 MARA dan KESUMA sedang diteruskan.
Penambahbaikan itu bukan hanya tertumpu kepada dewan kuliah, malah capaian Wi-Fi turut tersedia di makmal, perpustakaan, pusat pelajar dan kolej kediaman.
Ketersambungan yang lebih baik membolehkan mahasiswa menyiapkan tugasan, mengulang kaji, menjalankan perbincangan kumpulan serta mengakses sumber pembelajaran dari kolej kediaman, selain mengurangkan kebergantungan kepada pelan data mudah alih peribadi.
Pelaksanaan itu turut mencerminkan pendekatan MCMC sebagai pengawal selia progresif yang bergerak daripada sekadar menyediakan liputan kepada usaha mewujudkan ketersambungan bermakna kepada pengguna.
Dalam konteks mahasiswa, ketersambungan bermakna bukan sekadar mempunyai liputan Internet, sebaliknya Internet yang boleh digunakan dengan baik di tempat mereka belajar, membuat tugasan, menjalankan penyelidikan dan tinggal.
Bagi mahasiswa seperti Afnanudin dan Azim, manfaat itu akhirnya diterjemahkan dalam perkara paling dekat dengan kehidupan mereka iaitu dapat meneruskan pembelajaran dan menyiapkan tugasan tanpa terlalu memikirkan soal capaian Internet atau bergantung kepada data telefon sendiri.




