harisfadli@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Dun Jepak mensasarkan penurunan 25 peratus bilangan penagih dadah tahun ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jepak, Iskandar Turkee berkata berdasarkan statistik Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) seramai 79 penagih dadah direkodkan di Dun itu sepanjang tahun lalu.
“Bagi memastikan ia mencapai sasaran, program kesedaran dan pencegahan dadah perlu dilaksanakan secara berkala dan ia perlu membabitkan semua pihak.
“Fakulti Kemanusiaan, Pengurusan dan Sains, Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) adalah agensi pertama menganjurkan Program Jom Gegar Jepak, Sahabat Maritim Bebas Dadah Bersama Komuniti Jepak di Kampung Jepak, Bintulu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Program Jom Gegar Jepak Sahabat Maritim Bebas Dadah Bersama Komuniti Jepak di Kampung Jepak, Bintulu di Sarawak semalam.
Katanya, program itu bertepatan dengan hasratnya memastikan belia di DUN terbabit bebas daripada masalah penyalahgunaan dadah.
Menurutnya, program itu juga adalah program Intervensi Bersepadu yang memberi fokus kepada isu dadah dan substans (OBID) di bawah One Stop Committee (OSC) bagi menangani isu dadah di Bintulu.
Dalam perkembangan lain katanya, AADM merekodkan 306 individu di daerah Bintulu terbabit dalam masalah penagihan dadah.
Jumlah berkenaan meletakkan Bintulu menjadi daerah keempat tertinggi daripada 3,079 jumlah keseluruhan individu dikesan terbabit dengan gejala dadah di Sarawak.
© New Straits Times Press (M) Bhd




