PETALING JAYA: Setiap penganjuran program hiburan perlu mematuhi prinsip tidak mengetepikan nilai, adab, sensitiviti agama serta norma masyarakat tempatan.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pandangan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan wajar dihormati kerana mencerminkan kegusaran sebahagian besar rakyat Malaysia.
Katanya, UMNO memandang serius pandangan kedua-dua agensi berhubung penganjuran program seumpama Rain Rave Water Music Festival 2026.
“Sehubungan itu, kami meminta supaya program seumpama ini diteliti semula daripada segi konsep, kandungan dan pelaksanaannya.
“Garis panduan juga perlu diperkemas dan diperketatkan agar setiap penganjuran selari dengan nilai budaya, agama dan identiti negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ahmad Zahid berkata, berhibur bukan satu kesalahan, namun ia perlu mempunyai batas yang jelas.
“Prinsip kita jelas, berhibur tidak salah tetapi mesti ada batas. Kemajuan boleh diteruskan, namun nilai tidak boleh tergugat.
“Penganjur wajar berbincang dengan pihak berkuasa bagi memastikan keharmonian masyarakat terus terpelihara,” katanya.
Rain Rave Water Music Festival 2026 merupakan antara acara hiburan terbesar di ibu negara apabila menghimpunkan barisan artis tempatan dan antarabangsa di Bukit Bintang dari 30 April hingga 2 Mei ini.
Difahamkan, acara tersebut mengetengahkan konsert muzik moden yang menggabungkan elemen air, visual serta persembahan untuk memberi pengalaman baharu kepada pengunjung di tengah-tengah pusat bandar Kuala Lumpur.-UTUSAN




