
Mohamed Khaled (kanan) hadir Majlis Sembang Santai Bersama Pemandu Kereta Sewa dan Teksi di Terminal Bas dan Teksi Tun Sri Lanang, Kota Tinggi pada Selasa.
KOTA TINGGI – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyifatkan kenyataan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan boleh dibubarkan serta-merta susulan pembubaran DUN Johor sebagai tidak mengambil kira proses perundangan dan perlembagaan negeri itu.
Beliau berkata, pembubaran DUN Negeri Sembilan tidak boleh dilakukan secara mudah kerana membabitkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan serta Undang Yang Empat.
“Saya sebenarnya tak mahu jawab kerana mahu menjaga hubungan (dengan Kerajaan Perpaduan), tetapi hakikatnya ia tidak boleh berlaku begitu.
“Di Negeri Sembilan, seseorang tidak boleh bertindak sendiri. Perkara itu perlu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan baginda pula tidak boleh bertindak secara bersendirian kerana perlu bersama Undang Yang Empat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook ketika Konvensyen Pakatan Harapan (PH) di Johor Bahru pada 17 Mei, mengenai Negeri Sembilan bersedia membubarkan DUN sekiranya Johor mengambil langkah berkenaan terlebih dahulu.
Ahli Parlimen Seremban itu sebelum ini dilaporkan berkata, Negeri Sembilan boleh membubarkan DUN ‘esok’ jika Johor memulakan langkah berkenaan.
Pada Isnin, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan DUN Johor dibubarkan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16.
Pada PRN Johor ke-15 yang berlangsung pada Mac 2022, Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 40 daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan.
Pakatan Harapan (PH) pula memenangi 12 kerusi dengan DAP memperoleh 10 kerusi, manakala PKR dan Amanah masing-masing satu kerusi.
Perikatan Nasional (PN) memenangi tiga kerusi, sementara Muda memperoleh satu kerusi.



