am@hmetro.com.my
Kuching: Cadangan Sarawak untuk menambah keanggotaan Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri sebanyak 17 kerusi, daripada 82 kepada 99, dijangka diluluskan dengan mudah.
Dengan penguasaan majoriti besar oleh gabungan pemerintah, Gabungan Parti Sarawak (GPS), yang memegang 80 daripada 82 kerusi, kelulusan Rang Undang-Undang itu tidak akan menjadi halangan.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Hamzah, ketika membentangkan Rang Undang-Undang Keanggotaan Dewan (Composition of Membership Bill) 2025 berkata, faktor keluasan geografi Sarawak dan kawasan luas yang perlu diwakili oleh wakil rakyat di luar bandar menjadi sebab keperluan untuk persempadanan semula pilihan raya.
Katanya, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, negeri ini menyaksikan perubahan demografi yang ketara, perkembangan bandar dan permintaan yang semakin meningkat untuk perwakilan yang adil.
Pertambahan itu, kata Karim, akan memastikan keperluan dan kebimbangan rakyat ditangani dengan lebih cekap dan berkesan.
“Cadangan pertambahan bilangan wakil rakyat ini adalah satu langkah yang berani, munasabah dan perlu, serta akan meningkatkan aksesibiliti kepada kerajaan,” katanya dalam sidang khas DUN Sarawak selama sehari hari ini, khusus untuk meluluskan Rang Undang-Undang berkenaan.
Karim berharap urusan persempadanan semula itu akan disiapkan secepat mungkin supaya 17 kerusi itu dapat dipertandingkan dalam pilihan raya negeri akan datang yang dijangka tahun depan.
Karim menegaskan Sarawak menggunakan hak perundangannya untuk menambah kerusi di bawah Perkara 14 (1)(3) Perlembagaan Negeri.
Katanya, cadangan pertambahan itu juga selaras dengan Perkara 113 (II) Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan kajian semula sempadan pilihan raya selepas selang waktu tidak kurang daripada lapan tahun.
Urusan persempadanan semula terakhir di Sarawak dijalankan pada 2015.
Karim berkata, dewan sebagai badan perundangan, “mesti kekal dinamik dan responsif terhadap keperluan rakyat yang sentiasa berubah… bagi memastikan ia terus mencerminkan suara dan aspirasi semua rakyat Sarawak.”
Katanya, sejak urusan persempadanan semula yang terakhir, terdapat peningkatan ketara dalam populasi negeri dan jumlah pengundi, terutama apabila usia kelayakan mengundi diturunkan daripada 21 kepada 18 tahun.
“Ini sekali lagi mewajarkan keperluan untuk mewujudkan kawasan pilihan raya baharu bagi memastikan perwakilan dalam Dewan Undangan Negeri ini kekal adil dan mencerminkan situasi semasa di lapangan,” katanya.
Apabila pilihan raya langsung pertama ke dewan itu, yang ketika itu dikenali sebagai Council Negri, diadakan pada 1969, dewan itu terdiri daripada 48 ahli yang dipilih.
Jumlah ini meningkat kepada 56 pada 1985 dan seterusnya kepada 62 pada 1991.
Pertambahan terakhir dibuat pada 2014 apabila kerusi ditambah sebanyak 11 daripada 71.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) penyokong kerajaan, Chieng Jin Ek (GPS – SUPP Bukit Assek) dalam perbahasannya menyokong Rang Undang-Undang itu, berkata cadangan berkenaan adalah tepat pada masanya dan perlu.
“Ia bukan sekadar menambah jumlah. Ia adalah mengenai meningkatkan perwakilan, bertindak balas kepada realiti demografi, dan memastikan setiap rakyat Sarawak mempunyai suara dalam dewan perundangan ini,” katanya kepada dewan.
Memberikan statistik untuk menyokong hujahnya, Chieng berkata, pada Pilihan Raya Negeri 2021, hanya terdapat 1,252,014 pengundi berdaftar.
Katanya, selepas pelaksanaan Undi18 dan pendaftaran pemilih automatik pada 2022, jumlah itu menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meningkat secara mendadak kepada 2,008,347 pada Januari tahun ini, satu kenaikan hampir 60 peratus.
Beliau berkata, Rang Undang-Undang itu justeru menjawab prinsip asas demokrasi, perwakilan mesti berkembang seiring dengan populasi.
“Dengan pertambahan pengundi yang begitu besar, mengekalkan konfigurasi 82 kerusi sedia ada akan mengurangkan keberkesanan perwakilan, terutamanya di kawasan bandar yang pesat membangun atau kawasan luar bandar yang luas,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




