Dunia baharu Fadzli UNIC

Dunia baharu Fadzli UNIC

KUALA LUMPUR – Populariti yang ada pada dirinya dalam bidang seni kini ditukar kepada peluang perniagaan.

Itulah yang dilakukan anggota kumpulan nasyid, UNIC iaitu Fadzli Aziz yang kini sukses dengan perniagaan sendiri.

Dia hari ini lebih selesa menumpukan perhatian pada perniagaan sementara bidang nyanyian menjadi pilihan kedua. Apatah lagi, sepanjang 20 tahun mengharungi perjalanan muzik.

Sejarah UNIC bermula ketika anggota-anggota asalnya iaitu Fitri, Bazli, Wan Shah dan Apen menganggotai kumpulan Dzil Afnan iaitu sebuah kumpulan nasyid tetap di Sekolah Menengah Agama Bandar Penawar, Kota Tinggi, Johor sehingga kini di mana anggotanya bersilih ganti pada satu-satu masa.

Menjadi fenomena industri nasyid pada masa itu, UNIC diperkenalkan menerusi kemunculan pertama mereka iaitu Hanya Tuhan Yang Tahu di bawah Hijjaz Records.

Fadzli tampil sebagai pelengkap barisan anggota UNIC yang sering bertukar ganti selepas menggantikan Wan Shah untuk album Satu Tekad.

Kini, Fadzli menubuhkan Enrichz Networth Sdn. Bhd. iaitu syarikat Bumiputera yang membangunkan platform e-dagang dikenali Enrichz bersama seorang rakan kongsi.

Menerusi Enrichz, dia menyasarkan jumlah pelanggannya mencecah 100,000 menjelang akhir tahun ini.

Fadzli berkata, ia mampu dicapai memandangkan platform perniagaan online yang menggabungkan rangkaian pemasaran itu memiliki keistimewaan dengan menawarkan produk berkualiti dan dalam masa sama, memberikan pelbagai ganjaran kepada pembeli.

Menggunakan slogan Shop, Share dan Smile, pelanggan yang membeli lebih banyak bakal beroleh keuntungan berganda dalam ekosistem yang kondusif untuk berbelanja.

“Enrichz bukan bertujuan untuk bersaing dengan platform e-dagang yang lain, sebaliknya melengkapkan lagi ekosistem industri.

“Pembeli akan mendapat ganjaran bukan sahaja de­ngan membeli, malah melalui berkongsi informasi dan mencadangkan produk-produk dalam platfom kami kepada rakan-rakan,” katanya pada majlis pelancaran di sini, baru-baru ini.

Fadzli menyasarkan jumlah pelanggan Enrichz mencecah 100,000 menjelang akhir tahun ini.

Fadzli merupakan pemegang Sarjana Muda Pendidikan (Bimbingan & Kaunseling) daripada Universiti Putra Malaysia.

Berpengalaman dalam bidang latihan dan motivasi lebih lapan tahun, dia juga aktif mengendalikan pelbagai bentuk kursus motivasi kesedaran, kepimpinan, pembelajaran, pembinaan sakhsiah diri serta pembinaan bagi pihak sekolah, universiti, kakitangan kerajaan serta swasta.

Pada masa sama, dia juga muncul sebagai motivator dalam slot Tazkirah dan slot Muhasabah di stesen TV, Al-Hijrah dan kolumnis Majalah Muslimah.

Mengulas lanjut, Fadzli menjelaskan, melalui Enrichz, peniaga online memiliki pilihan terbaik untuk mempromosikan produk masing-masing.

“Pada masa terdekat ini kami akan tampil dalam bentuk aplikasi yang lebih memudahkan pengguna disamping mengekalkan konsep satu jenama satu pedagang sahaja untuk memastikan tiada produk tiruan mahupun ‘item clash’ di dalam Enrichz” jelasnya lagi.

“Laman rasmi Enrichz juga akan merekodkan nilai pembelian terkumpul rangkaian pada setiap hari bagi membuka peluang ganjaran lebih banyak,” katanya. – MalaysiaGazette

Scroll to Top