“Durian runtuh!” – Tayar lori dipercayai pecah, durian berterabur atas jalan

Buka media sosial, sana sini dipenuhi posting fasal durian. Tak cukup dengan gambar isi buahnya, ada juga merungut mengenai harga jualan yang hanya mampu dinikmati oleh golongan kayangan!

Terbaru, sebuah lori yang membawa muatan raja buah itu dilaporkan terbalik di Kilometer 279.9 Lebuh Raya Utara Selatan (Arah Utara) berhampiran Nilai, Seremban kira-kira pukul 1.20 petang tadi.

Menurut laporan Utusan Online, kejadian dipercayai berpunca apabila sebuah tayar lori itu pecah lalu mengakibatkan ia terbabas dan terbalik sebelum muatan tersebut bertaburan di atas lebuh raya.

Meninjau ke ruangan komen Facebook Utusan Online, segelintir warganet menyifatkan situasi berkenaan seperti ‘durian runtuh’ selain menganggap mungkin ada hikmah di sebalik kejadian.

Bagaimanapun, mangsa iaitu dua orang lelaki dilaporkan selamat namun difahamkan kelindan telah mengalami kecederaan pada bahagian bahu.

Sumber: Utusan Online (Muhammad Izzat Termizie) , Facebook