MILAN: Edin Dzeko akan menentang bekas rakan sepasukan Roma, Mohamed Salah apabila Inter Milan melayan kunjungan Liverpool di San Siro dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah awal pagi Khamis ini.
Selepas Chelsea dan Fiorentina, karier Salah mula melonjak sebaik dia tiba di ibu kota Itali itu pada tahun 2015.
Pengendali Roma Luciano Spalletti menggandingkan Dzeko dan Salah di bahagian serangan dan mereka meledak 58 gol dalam semua pertandingan pada musim 2016-17 untuk membantu Roma muncul naib juara Serie A.
Persembahan Salah menarik minat Liverpool dan di bawah kendalian Jurgen Klopp, dia melonjak menjadi antara pemain terbaik dunia.
“Saya boleh katakan, walaupun sedikit, saya ada membantu Momo menjadi dirinya sekarang. Kami mengharungi musim hebat di Rome. Saya gembira untuknya, pemain hebat yang berhak mendapat apa yang dicapainya sekarang,” kata Dzeko.
Dzeko juga kembali mencapai prestasi terbaiknya sejak berpindah dari Roma pada musim panas lalu, dan kelibatnya bersama Inter berjaya mengisi kekosongan ditinggalkan Romelu Lukaku – tonggak mereka ketika menjuarai liga musim lalu.
Dzeko kini sudah meledak 14 gol dalam semua pertandingan. Gol penyamaannya ketika menentangn Napoli Sabtu lalu, memastikan Inter – yang ketinggalan satu mata di belakang AC Milan tetapi bermain kurang satu perlawanan – mempunyai kelebihan dalam pemburuan kejuaraan liga.
Dia menjaringkan dua gol ketika menentang Shakhtar Donetsk untuk membawa Inter ke kelompok 16 terakhir Liga Juara-Juara – kali pertama kelab Itali itu mara ke pusingan kalah mati dalam tempoh sedekad.
Liverpool pernah bertandang sekali ke San Siro musim ini, mengatasi AC Milan dan menyingkirkan seteru Inter itu dari pentas Eropah.
Bagaimanapun Dzeko merasakan jurang antara Inter dan Liverpool tidak terlalu besar.
“Liverpool pasukan yang bagus, mereka boleh dikalahkan tetapi mereka juga boleh membelasah anda. Kami akan cuba mencabar mereka,” katanya. – AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd