mohdsyazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mengesyorkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyemak semula keseluruhan proses pemberian kewarganegaraan kepada tujuh pemain naturalisasi bola sepak negara selepas siasatan mendapati terdapat beberapa ketidakaturan dan ketidakpatuhan dalam proses berkenaan.
Hasil siasatan Pasukan Petugas Khas (PPK) EAIC mendapati syarat-syarat yang perlu dipenuhi bagi memperoleh kelulusan khas telah dibuat dalam tempoh yang amat singkat dan secara tidak teratur.
Siasatan itu turut mendapati terdapat ketidakaturan dalam proses pengeluaran Permit Masuk membabitkan proses temuduga dan tapisan keselamatan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) terhadap pemain berkenaan.
EAIC dalam kenyataannya berkata, turut dikesan isu berhubung pengendalian tapisan keselamatan oleh JIM dan ujian Pengetahuan Bahasa Melayu (UPBM) oleh JPN bagi tujuan kelulusan kewarganegaraan.
“Terdapat juga isu berhubung pengendalian tapisan keselamatan oleh JIM dan ujian Pengetahuan Bahasa Melayu (UPBM) oleh JPN bagi tujuan kelulusan kewarganegaraan.
“Pada masa sama, terdapat ketidakpatuhan berkenaan pengesahan pelepasan kewarganegaraan negara asal daripada pihak berkuasa negara asal pemain itu,” katanya.
Selain itu, siasatan turut mendapati wujud ketidakpatuhan berkenaan penyerahan pasport negara asal oleh pemain naturalisasi itu kepada JIM.
Menurut EAIC, Perlembagaan Persekutuan memberikan kuasa kepada Menteri Dalam Negeri mempertimbangkan permohonan kewarganegaraan secara naturalisasi menurut peruntukan di bawah Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, Menteri Dalam Negeri selanjutnya menjalankan kuasa dan budi bicara dengan memberi kelulusan khas mengambil kira sumbangan pemohon dalam sukan bola sepak yang boleh mengharumkan nama negara menurut Perkara 19(2) dibaca bersama Seksyen 20(1)(e), Bahagian III Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan.
“Peruntukan tersebut memberi kuasa budi bicara kepada Menteri Dalam Negeri atas sebab sebab yang ditetapkan secara am atau secara khas oleh Menteri untuk menghitung tempoh kemastautinan seseorang itu tidak berada di dalam Persekutuan boleh dianggap bermastautin di Malaysia.
“Namun PPK EAIC mendapati bahawa pertimbangan kepada syarat-syarat yang perlu dipenuhi bagi memperoleh kelulusan khas telah dibuat dalam tempoh yang amat singkat dan secara tidak teratur,” katanya.
Sehubungan itu, EAIC mengesyorkan JPN dan KDN menyemak semula keseluruhan proses serta dokumen kewarganegaraan melalui penaturalisasian yang telah diberikan kepada tujuh pemain berkenaan di bawah Perkara 19(2) Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, cadangan itu dibuat memandangkan dapatan EAIC menunjukkan terdapat ketidakaturan dalam proses berkenaan.
EAIC turut mengesyorkan satu garis panduan diwujudkan dalam menjalankan kuasa budi bicara di bawah undang undang dengan mengambil kira peruntukan asas dalam Perlembagaan Persekutuan.
Langkah itu perlu menitikberatkan tempoh kemastautinan dalam negara sebagai satu asas kewarganegaraan dan faktor penting dalam mempertimbangkan kelulusan yang diberikan atas dasar keadaan khas.
“JPN dan KDN mewujudkan prosedur operasi standard (SOP) khusus berkenaan pemberian taraf kewarganegaraan di bawah Perkara 19(2) Perlembagaan Persekutuan.
“JPN dan KDN menyediakan satu SOP khusus berkenaan pelepasan kewarganegaraan asal oleh warganegara asing yang telah memperoleh taraf kewarganegaraan Malaysia,” katanya.
Sebagai rekod, isu pemberian kewarganegaraan kepada tujuh pemain naturalisasi itu sebelum ini menjadi perhatian selepas Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mendapati proses dokumentasi berkaitan kelayakan pemain berkenaan tidak mematuhi peraturan ditetapkan.
Susulan itu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dikenakan denda CHF350,000, manakala tujuh pemain terbabit masing masing didenda CHF2,000 dan digantung daripada aksi antarabangsa selama 12 bulan.
FAM bagaimanapun mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) yang kemudian mengekalkan dapatan berhubung pemalsuan dokumen, namun memutuskan penggantungan pemain hanya terpakai kepada perlawanan antarabangsa dan tidak menghalang mereka daripada menjalani latihan bersama kelab masing masing.
© New Straits Times Press (M) Bhd




