Ebola: WHO keluar amaran tertinggi

Ebola: WHO keluar amaran tertinggi
Ebola: WHO keluar amaran tertinggi

Sebahagian besar kes direkodkan di pusat penularan wabak di wilayah Ituri, timur laut Kinshasa. Foto AFP

GENEVA – Risiko penularan wabak maut Ebola dinaikkan ke tahap tertinggi di Republik Demokratik Congo (DRC).

Pengumuman itu dibuat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Jumaat selepas jumlah kematian virus bawaan kelawar buah itu terus meningkat.

Setakat ini, sebanyak 82 kes disahkan termasuk tujuh kematian direkodkan di Kinshasa, manakala hampir 750 kes dan 177 kematian lagi disyaki berpunca daripada strain Bundibugyo yang sehingga kini masih belum mempunyai vaksin.

WHO kini memberi keutamaan kepada beberapa rawatan sedia ada bagi menilai keberkesanannya dalam menangani strain ‘pembunuh senyap’ tersebut.

Ketua agensi itu, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, situasi itu ‘amat mencabar’ berikutan petugas kesihatan sedang bertungkus-lumus membendung penularan virus dengan menjejaki kontak rapat individu yang dipercayai dijangkiti di kawasan berisiko tinggi dan tidak selamat.

“Kami tahu epidemik di DRC lebih teruk daripada kes yang telah direkodkan. Keadaan di Uganda pula agak stabil dengan hanya mencatatkan dua kes melibatkan individu yang melakukan perjalanan dari Kinshasa dan satu kematian,” ujarnya sambil menambah usaha pengesanan kontak rapat berjaya mengekang penyebaran virus tersebut.

Difahamkan, WHO menetapkan tahap risiko serantau kekal tinggi manakala risiko global pula masih rendah walaupun kebanyakan negara sudah mula mengambil langkah awal bagi membendung penularan Ebola.

Pengarah Serantau WHO bagi Afrika, Mohamed Yakub Janabi memaklumkan virus yang menyebabkan demam berdarah dan kegagalan organ itu melalui fasa awal yang sukar dikesan kerana simptomnya menyerupai malaria atau demam kepialu, sekali gus menyebabkan penularan boleh berlaku tanpa disedari.

Sementara itu, wakil WHO di DRC, Anne Ancia menyifatkan peningkatan jumlah kes ketika ini sebagai ‘petanda baik’ kerana ia membuktikan sistem pemantauan dan pengesanan aktif kes sedang berfungsi dengan berkesan.

Tanpa rawatan atau vaksin yang tersedia, usaha mengenal pasti kontak rapat dan mengasingkan individu selama 21 hari menjadi satu-satunya cara untuk memutuskan rantaian jangkitan. – AFP

Info

>Hanya dua wabak strain Bundibugyo pernah direkodkan di Uganda pada 2007 dan di DRC pada 2012.

 

 

Scroll to Top