Ekonomi Malaysia catat pertumbuhan kukuh 5.9 peratus pada suku kedua tahun ini  

Ekonomi Malaysia catat pertumbuhan kukuh 5.9 peratus pada suku kedua tahun ini  

KUALA LUMPUR – Ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan kukuh sebanyak 5.9 peratus pada suku kedua tahun 2024, melebihi anggaran awal 5.8 peratus.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, peningkatan dalam perbelanjaan isi rumah, bersama prestasi eksport yang kukuh telah memberi rangsangan diperlukan dan membolehkan negara mengekalkan trajektori positif.

Katanya, jika dibandingkan dengan rantau ini, Malaysia berada di kelas yang tersendiri.

“Dalam keadaan Indonesia berkembang sebanyak 5.1 peratus, China sebanyak 4.7peratus dan Singapura 2.9 peratus, prestasi Malaysia mencermin pencapaian yang bermakna.

“Dengan suasana ekonomi global yang dijangka berkembang hanya 3.2 peratus, pertumbuhan Malaysia telah melebihi jangkaan serantau dan global.

“Ini mencerminkan kekuatan ekonomi kita dan keberkesanan pembaharuan yang telah dilaksanakan,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.

Rafizi berkata, kerajaan telah melaksanakan langkah-langkah berkesan untuk mengawal inflasi dan meningkatkan gaji melalui pelaksanaan Dasar Gaji Progresif dan peningkatan gaji penjawat awam.

Ujarnya, tumpuan juga diberi kepada sektor pertumbuhan strategik seperti semikonduktor dan peralihan tenaga dengan memperkenalkan inisiatif utama seperti Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), KL20, Ekonomi Madani dan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP).

Tambah beliau, usaha untuk merasionalisasikan subsidi dan mengurangkan defisit fiskal negara juga dapat menyumbang kepada kemampanan ekonomi negara.

“Pendekatan menyeluruh ini telah mengukuhkan daya tahan ekonomi kita, sekali gus memastikan kita terus berada di hadapan dalam mendepani sebarang cabaran ekonomi global.

“Bergerak ke hadapan, kerajaan mengekalkan optimisme yang sederhana dan terus bersedia,” jelasnya.

Menurut Rafizi, walaupun Malaysia berada dalam kedudukan yang baik untuk terus berkembang, kerajaan menyedari risiko luaran seperti kenaikan kadar faedah di Jepun dan ketidaktentuan ekonomi di Amerika Syarikat dan China.

Beliau menjelaskan, faktor-faktor itu mampu memberi kesan kepada ekonomi global dalam bulan-bulan akan mendatang, tetapi dengan asas yang sedang dibina, Malaysia lebih bersedia untuk mengharungi cabaran tersebut dan terus maju ke hadapan.

“Matlamat negara kekal jelas iaitu mengekalkan pertumbuhan yang memberi manfaat kepada semua rakyat Malaysia dan memastikan negara kekal di landasan yang stabil dan makmur,” katanya. – MalaysiaGazette

Scroll to Top