Eksekutif pentadbiran BH baru pulang umrah meninggal dunia

Eksekutif pentadbiran BH baru pulang umrah meninggal dunia

saadiah_ismail@bh.com.my

Kajang: Eksekutif Pentadbiran Berita Harian (BH), Norasmaliza Minhat meninggal dunia di kediamannya di sini, kira-kira 1 tengah hari, hari ini.

Ibunya, Zinap Mohamed, 69, berkata, Norasmaliza, 48, ditemui tidak sedarkan diri di dalam biliknya, sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM).

Katanya, mereka berdua baru pulang daripada mengerjakan umrah bersama kumpulan jemaah Media Prima Berhad (MPB) yang bermula 9 Oktober hingga semalam.

“Kami sampai di rumah pada 5 pagi semalam dan arwah tidak menunjukkan sebarang tanda tidak sihat, sebaliknya ceria disambut ahli keluarga dan anaknya.

“Arwah memang berehat sahaja di biliknya selepas pulang dari umrah dan tidak turun makan sehingga pagi tadi.

“Suaminya juga tidak menyangka (pemergian arwah) kerana pagi tadi, arwah hanya tidur dan dia tidak mahu mengganggu, sebelum keluar bekerja,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Desa Budiman, Bandar Sungai Long di sini, hari ini.

Menurutnya, dia mula tidak sedap hati apabila Allahyarhamah Norasmaliza tidak keluar bilik menjelang tengah hari dan mula memeriksa.

“Makcik tak sedap hati dan naik ke biliknya (di tingkat atas) selepas selesai memasak untuk mengajaknya makan, tetapi arwah terbaring kaku dan segera membuat panggilan kecemasan,” katanya.

Zinap berkata, beliau tidak dapat melupakan kenangan mengerjakan umrah bersama arwah yang sentiasa mengutamakannya sepanjang beribadah di Tanah Suci.

“Arwah memang sudah lama berhasrat bawa makcik dan anaknya (ke Makkah) dengan membuat potongan gaji, tetapi kami pergi berdua kerana anaknya akan menduduki peperiksaan.

“Apapun makcik reda dengan pemergian arwah dan bersyukur berpeluang mengunjungi Tanah Suci bersamanya. Dia seorang anak yang baik,” katanya.

Allahyarhamah yang juga anak sulung daripada empat beradik meninggalkan seorang anak lelaki berusia 17 tahun yang bersekolah di di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Arau, Perlis.

Jenazah Norasmaliza yang berkhidmat di Jabatan Pentadbiran The New Straits Times Press (M) Berhad sejak 1997 dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Sungai Long.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top