am@hmetro.com.my
Shah Alam: Pempengaruh yang juga ahli perniagaan wanita bersama anaknya yang ditahan bagi membantu siasatan berkaitan dakwaan eksploitasi dua pembantu rumah Indonesia pada Khamis lalu, dibebaskan dengan jamin polis.
Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, ia selepas permohonan sambung reman terhadap dua suspek berusia 50-an dan 30-an itu ditolak hari ini.
“Permohonan sambung reman ditolak…(suspek) akan diberi jamin polis. Dua mangsa pula kini ditempatkan di rumah perlindungan,” katanya, di sini, hari ini.
Kedua suspek sebelum ini direman tiga hari bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Dalam pada itu, ditanya adakah pempengaruh itu bergelar Datuk, Ramsay berkata, perkara itu masih dalam siasatan pihaknya.
Semalam, media melaporkan dua beranak itu ditahan di sebuah rumah di Kayangan Heights, dekat sini, pada Khamis lalu selepas dua mangsa berusia 48 dan 33 tahun diselamatkan.
Ramsay berkata, mangsa pertama memberitahu sudah bekerja selama tempoh dua tahun, manakala seorang lagi bekerja selama sebulan dengan majikan mereka.
Menurutnya, mangsa turut mendedahkan telefon bimbit dan pasport mereka dirampas oleh majikan, dipaksa bekerja lebih masa serta sering dipukul selain tidak dibayar gaji sejak dua bulan yang lalu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 13 Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.
© New Straits Times Press (M) Bhd




