Dalam dekad Penentu ASEAN yang semakin mencabar landskap tenaga serantau, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Fadillah Yusof, memacu penerokaan tenaga nuklear sebagai pelengkap kepada tenaga hijau negara.
Usaha ini diyakini mampu memastikan rakyat menikmati bekalan tenaga yang lebih terjamin, selamat dan lestari, sekali gus memperkukuh agenda peralihan tenaga nasional.
Namun, mesej yang dibawa jelas iaitu keputusan bukan dibuat secara tergesa-gesa.
Fadillah menegaskan bahawa pelaksanaan nuklear masih di peringkat kajian dan persediaan dengan keputusan muktamad hanya akan dibuat selepas 2030, selepas meneliti sepenuhnya aspek keselamatan, alam sekitar, keperluan modal insan dan penerimaan masyarakat.
Pendekatan berhati-hati ini selari dengan dapatan kajian tempatan oleh Zainal Ariffin et al. (2022) menerusi kajian bertajuk ‘Consumer Acceptance of Renewable Energy in Peninsular Malaysia’ yang mendapati tahap penerimaan dasar tenaga baharu sangat berkait rapat dengan persepsi risiko, kepercayaan terhadap kerajaan dan kefahaman awam.
Dapatan ini memperlihatkan bahawa kepercayaan masyarakat adalah asas utama kepada kejayaan sebarang projek berkaitan tenaga berskala besar.
Berdasarkan kajian itu, untuk menggerakkan strategi dan inisiatif tenaga yang dicadangkan serta memastikan ia berfungsi dengan baik, pemain utama dalam sektor tenaga perlu kerap berkomunikasi dan bekerjasama agar konflik dasar dan kos pelaksanaannya dapat diminimumkan, selain memudahkan pengguna mengenal pasti dan memahami hubungan antara kesedaran awam, kesediaan, dan penyesuaian terhadap pembangunan tenaga boleh diperbaharui di Malaysia.
Dalam masa sama, kajian oleh Wan Abdullah et al. (2021) bertajuk ‘Public Participation of Renewable Energy (PPRED) Model in Malaysia’ menegaskan bahawa pembabitan masyarakat dalam proses dasar tenaga meningkatkan tahap penerimaan serta mengurangkan jurang komunikasi antara pembuat dasar dan rakyat.
Ini memperkukuh keperluan PETRA untuk memastikan sebarang pertimbangan terhadap nuklear disertai dialog terbuka dan telus.
Dari sudut teknikal, kajian antarabangsa oleh Liu et al. (2023) menerusi ‘Critical Review of Nuclear Power Plant Carbon Emissions’ mendapati bahawa pelepasan karbon loji nuklear berada pada tahap yang sangat rendah berbanding arang batu dan gas, menjadikannya antara pilihan tenaga rendah karbon paling stabil untuk jangka panjang.
Malah, Krumins dan Klavins (2023) dalam kajian ‘Investigating the Potential of Nuclear Energy in Achieving a Carbon-Free Energy Future’ menyimpulkan bahawa gabungan nuklear dan tenaga boleh diperbaharui adalah strategi paling berkesan dalam membentuk sistem tenaga rendah karbon yang mampan.
Namun dalam konteks Malaysia, isu penerimaan sosial tidak boleh dipandang ringan. Kajian oleh F. A. Misnon et al. (2016) bertajuk ‘Malaysian Public Perception Towards Nuclear Power Energy-Related Issues’ mendapati bahawa masyarakat Malaysia dilihat mempunyai persepsi yang sangat kuat terhadap kebanyakan isu, namun pemahaman sebenar mereka masih belum dapat dipastikan.
Perkara ini dapat dilihat apabila isu tenaga nuklear dibangkitkan, di mana sebahagian besar masyarakat Malaysia menyokong pembinaan loji tenaga nuklear pada masa hadapan, tetapi apabila dibandingkan dengan tahap pemahaman mereka terhadap isu tersebut, pengetahuan yang ada masih diragui.
Kajian itu juga mendapati, orang ramai memperoleh sebahagian besar maklumat mengenai tenaga daripada media, namun tahap kepercayaan mereka terhadap maklumat tersebut adalah lebih rendah berbanding maklumat yang diterima daripada organisasi yang mantap, profesor universiti, pertubuhan (NGO) serta badan pengawal selia bebas.
Di sinilah peranan PETRA menjadi lebih signifikan. Penubuhan organisasi tenaga nuklear (NPO) memperlihatkan kesungguhan kerajaan membina asas tadbir urus, perundangan dan kesiapsiagaan modal insan.
Tambahan pula, kewujudan pakar Malaysia yang kini bekerja di loji nuklear luar negara serta latihan di institusi tempatan seperti Universiti Kebangsaan Malaysia menunjukkan peralihan tenaga ini turut membabitkan pelaburan ilmu jangka panjang.
Dalam masa sama, PETRA turut memperkukuh dasar teknologi hijau melalui peluasan tenaga solar berskala besar, hidro mini dan kecekapan tenaga industri.
Kajian oleh Ghosn, Fadi, et al. (2024) bertajuk ‘Energy Transition and Sustainable Development in Malaysia: Steering Towards a Greener Future’ menyatakan bahawa hakikat bahawa Malaysia sedang giat melaksanakan peralihan tenaga dan pembangunan mampan menunjukkan bahawa negara ini serius dalam usaha mewujudkan masa depan yang lebih baik dan mesra alam.
Menurut kajian itu, sebagai respons terhadap kebimbangan alam sekitar yang semakin meningkat serta desakan untuk mengamalkan model ekonomi yang lebih mampan, negara ini sedang bergerak meninggalkan pergantungan tinggi terhadap bahan api fosil dan beralih kepada sumber tenaga boleh diperbaharui.
Walaupun mencabar, langkah ini meletakkan Malaysia pada kedudukan yang baik untuk menerajui usaha antarabangsa memerangi perubahan iklim dan menyokong pembangunan mampan.
Namun realitinya, nuklear bukan sekadar pilihan teknikal. Ia adalah cerminan hubungan antara kerajaan dan rakyat. Sejauh mana keyakinan dibina, sejauh itulah dasar ini mampu dilaksanakan tanpa tentangan.
Malaysia kini sedang membina satu naratif baharu iaitu negara yang tidak mahu terus terperangkap dalam ketergantungan arang batu dan gas, tetapi berusaha memilih laluan lebih bersih, lebih lestari dan lebih bertanggungjawab. Nuklear, dalam kerangka ini, bukan pesaing kepada tenaga hijau, tetapi pelengkap kepada sistem tenaga masa depan yang lebih seimbang.
Seperti yang sering ditekankan Fadillah, negara memerlukan tenaga yang kukuh untuk menyokong pertumbuhan pusat data, elektrifikasi dan industri berteknologi tinggi.
Namun lebih daripada statistik dan pelan dasar, apa yang sedang diuji hari ini ialah kepercayaan bahawa setiap keputusan dibuat bukan semata-mata demi pembangunan, tetapi demi kelangsungan hidup dan warisan generasi akan datang.
Di sinilah nuklear diuji. Bukan pada keupayaannya menjana tenaga, tetapi pada kemampuannya menyatukan sains, dasar dan suara rakyat dalam satu kerangka yang beretika dan berpaksikan kelestarian.
Penulis adalah penuntut Doktor Falsafah di Universiti Utara Malaysia
© New Straits Times Press (M) Bhd




