Pelakon jelita, Elisya Sandha selamat melahirkan cahaya mata kedua, seorang bayi lelaki, semalam.
Berita gembira itu dikongsikan suaminya, Uzair Haqimy, menerusi Instagram Story yang sarat dengan ucapan syukur dan penghargaan buat isteri tersayang.
“Alhamdulillah Ya Allah… Terima kasih atas doa semua. Terima kasih isteriku. Sekali lagi, awak buat saya kagum dengan kekuatan awak. Saya takkan mampu membalasnya,” luah Uzair penuh emosi.
Elisya, atau nama penuhnya Nur Elisya Sandha Hassan, 26, turut memuat naik foto dirinya bersama si kecil di Instagram, sambil memperkenalkan nama anak lelaki mereka yang cukup indah dan unik.
“Allah adalah sebaik-baik perancang. Syukur alhamdulillah, Masya-Allah Tabarakallah. Assalamualaikum anak lelaki, Bahtera Elhaq Bin Uzair Haqimy,” tulisnya ringkas.
Untuk rekod, pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 21 Ogos 2021, dan sebelum ini dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Bunga Elhaq.




