THE HAGUE: Agensi Perubatan Eropah (EMA) menggesa negara Kesatuan Eropah (EU) menggunakan semua jenis vaksin yang ada untuk memerangi pandemik COVID-19 biarpun terlalu awal untuk mengetahui jenis vaksin terbaik.
Gesaan itu berikutan beberapa negara mengehadkan penggunaan alat vektor viral seperti AstraZeneca dan Johnson & Johnson (J&) yang dikaitkan dengan pembekuan darah yang jarang berlaku dan memilih vaksin messenger RNA (mRNA) seperti Pfizer dan Moderna.
Ketua Strategi Vaksin EMA, Marco Cavaleri, berkata semua orang masih dalam pandemik dan penting untuk memerangi wabak dengan menggunakan semua pilihan vaksin yang ada.
“Bergantung kepada negara anggota bagaimana mereka menggunakannya untuk kepentingan kesihatan awam,” katanya.
Terdahulu, EMA menafikan bahawa Cavaleri mencadangkan ketika wawancara dengan sebuah akhbar Itali untuk tidak menggunakan AstraZeneca, bahkan untuk mereka yang berusia lebih 60 tahun yang kini terhad di beberapa negara.
Cavaleri berkata, wawancara itu wujud banyak salah faham dalam pelbagai aspek.
Pakar EMA itu mengatakan sangat sukar untuk mengetahui jenis teknologi vaksin yang mungkin terbukti paling dominan di masa depan kerana semua suntikan yang ada kini sudah menyelamatkan jutaan nyawa.
“Sama ada di masa depan akan ada jenis vaksin tertentu seperti mRNA yang akan tetap menjadi keutamaan atau tidak, atau teknologi platform lain, ia akan kekal sebagai vaksin sampingan yang dapat memainkan peranan penting dalam mengawal coronavirus, justeru sukar untuk dinyatakan sekarang.
“Walau bagaimanapun, kami gembira mempunyai banyak pilihan,” katanya.
Setakat ini EMA membenarkan empat vaksin iaitu Pfizer/BioNTech, Moderna, AstraZeneca dan J&J.
Sementara itu satu lagi vaksin CureVac Jerman menunjukkan hasil percubaan tidak memberangsangkan dengan hanya berkesan 47 peratus, kurang 50 peratus keberkesanan ditetapkan EMA. – AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd




