Emas lebih bermakna jika kalahkan Thailand

Emas lebih bermakna jika kalahkan Thailand

PETALING JAYA: Pemain sepak takraw negara, Mohammad Syahir Rosdi seakan mempunyai dendam kesumat yang mahu dileraikan untuk penyertaan di Sukan SEA Kemboja yang akan berlangsung pada 5 hingga 17 Mei depan.

Syahir adalah antara 25 pelatih yang layak berada dalam fasa kedua pemilihan skuad kebangsaan, dan dia amat dahagakan penampilan di Sukan SEA kali ini memandangkan dua edisi terdahulu, iaitu di Filipina 2019 dan Vietnam tahun lalu, nama tekong tinggi lampai ini disisihkan.

Ditambah pula dua penampilan terakhir skuad negara di temasya itu berakhir dengan kekecewaan apabila gagal membawa pulang pingat emas, dengan kali terakhir ia berjaya dilakukan ketika Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 apabila meraih dua pingat emas, menerusi acara regu dan chinlone.

“Saya nak pingat emas, sudah empat tahun saya tak beraksi di Sukan SEA, kali ini saya rasa InsyaAllah pasukan Malaysia boleh melakukannya (emas) dalam acara regu dan regu berpasukan.

“Saya rasa disebabkan ada Thailand. Sebelum ini kami menang emas tapi Thailand tak masuk. Kali ini, Thailand menyertai acara regu dan regu berpasukan dan ini memang impian saya untuk berlawan dengan Thailand dan memenangi pingat emas.

“Tambahan pula, orang ramai juga nak kami menang de­ngan Thailand dan saya pun begitu. Contohnya kami menang dengan Indonesia, Korea Selatan ataupun negara lain, tetapi orang lain dan pemain sendiri tak puashati.

“Kami nak menang dengan Thailand, apa cara sekalipun kami nak menang emas itu secara lebih bermaruah,” jelas Syahir.