norhayati_nordin@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penyanyi, Nourul Depp tidak menghalang anak-anaknya meminati muzik serta menyertai pertandingan nyanyian sekiranya berpeluang, namun tetap utamakan pelajaran mereka.
Nourul atau nama sebenar Noorulhuda Abdul Wahab, 49, berkata dua anak lelakinya memang menunjukkan minat pada muzik, tetapi mereka juga memiliki cita-cita kerjaya sendiri.
“Anak saya, Zachary memang ramai yang tahu dia boleh menyanyi dan orang pun suka tengok cara dia (buat persembahan). Malah, dia juga akan jadi penyanyi jemputan saya pada Konsert For You Nourul nanti.
“Memang Zachary pun yang dilihat lebih teruja dan seronok untuk muncul di konsert ini. Bahkan, saya juga tak sangka semua orang suka dengan penampilannya dan kita banyak dapat mesej yang baik-baik untuk dia ‘join’ sekali.
“Di sekolah, Zachary pun ada buat persembahan teater dan bermain muzik. Tetapi, menyanyi itu memang benda tidak disangka. Malah, dia sebenarnya suka semua lagu Melayu tradisional dan klasik,” katanya kepada Harian Metro.
Terdahulu, Nourul ditemui media pada sesi latihan Konsert For You Nourul di Studio Sinetone, Ukay Boulevard di sini, semalam yang membicarakan persiapannya menjalang konsert berlangsung pada di Zepp Kuala Lumpur pada 30 Mei ini.
Berbicara lanjut mengenai anaknya itu, Nourul menjelaskan dia menghormati apa sahaja genre muzik disukai anak-anak termasuk pemilihan kerjaya mereka untuk masa depan kerana mengikut apa yang diminati.
“Kalau muzik dan lagu, macam saya katakan Zachary memang suka lagu Melayu. Semua lagu Melayu dan klasik, termasuk lagu-lagu saya dia tahu dan suka. Malah, lagu Cinta Azali saya memang dia hafal.
“Sekarang ini, dia (Zachary) ‘gila’ suka nyanyi lagu Cindai, Ikan Kekek dan macam-macam lagi. Manakala, anak lelaki nombor dua saya, Raphael pula
yang itu memang suka lagu-lagu Inggeris semua,” katanya.
Ditanya juga sama ada dia terbuka apabila Zachary mungkin ditawarkan menyertai program Talk To My Manager (TTMM) musim akan datang, Nourul berkata dia harus berbincang dengan suaminya, Eric Daniel Depp.
“Zachary ini dia cakap nak jadi juruterbang. Jadi, kita sebagai ibu bapa mesti kita nak menjuruskan ke arah apa yang anak nak jadi (cita-cita). Sebab dari umur empat tahun, dia sudah pilih nak jadi juruterbang sampai sekarang.
“Bahkan, sebenarnya apa sahaja mengenai kapal terbang dia semua tahu. Cuma, kalau nak jadi juruterbang sudah tentu pendidikan akademik itu juga kena bagus.
“Jadi, ada juga saya kata pada semua peminat-peminat yang komen (di media:sosial), saya cakap bulan Ogos ini nanti Zachary akan masuk mengikuti pendidikannya di sebuah sekolah elit dan terbaik di Bali.
“Memang kemasukan ke sekolah itu sangat sengit dan dia berjaya dipilih. Jadi, saya tak rasa dan saya tidak tahu perancangan akan datang untuk Zachary sertai pertandingan nyanyian sebab sesi persekolahan dia agak ketat,” jelasnya
Nourul bagaimanapun berkata mungkin akan dipertimbang juga sekiranya jadual persekolahan okay dan sebagainya. Tetapi, sesi persekolahan ditetapkan di Bali, Indonesia itu diakuinya sukar.
Sebelum ini, persembahan Zachary menyanyikan lagu Joget Kenangan Manis pernah tular di media sosial pada April lalu ketika dia muncul pada majlis sidang media Konsert For You Nourul di ibu kota.
Pada 2012, Nourul bertemu jodoh kali kedua dengan lelaki asal Perancis, Eric Depp dan hasil perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Zachary, 13, Raphael, 11 dan Isabella, 7.
Sejak 2023, Nourul dan Eric menetap di Bali bersama keluarga mereka dan dia sering berulang-alik ke Kuala Lumpur sekiranya mempunyai tawaran persembahan nyanyian.
Nourul juga pernah mendirikan rumah tangga dengan komposer Ajai pada 1996, namun sah bercerai pada 2007. Mereka mempunyai seorang anak perempuan, Ayu Nazirah, 27.
© New Straits Times Press (M) Bhd




