redzuan.muharam@hmetro.com.my
Johor Bahru: “Satu hari nanti, Syaqil (anak) akan mengerti dia ada seorang abi yang sentiasa menanti detik bermain dan habiskan masa dengannya.”
Demikian luahan Mohammad Syafiq Mohd Noh, 33, ketika menggambarkan perasaannya yang bukan hanya menggalas tanggungjawab sebagai suami malah bapa walaupun berstatus orang kurang upaya (OKU) Cerebral Palsy (CP).
Mohammad Syafiq pernah bergelar atlet boccia para kebangsaan namun sehingga 2024 saja sebelum mengambil keputusan untuk berehat dan sekadar mewakili negeri.
Bagi menyara keluarga, Mohammad Syafiq melakukan beberapa pekerjaan seperti pengedar sim kad, mengambil upah hasil jualan pemasaran gabungan (affiliate) serta membaik pulih permainan video dari rumah.
Biarpun pergerakannya terbatas, Mohammad Syafiq dari Skudai, Johor ini tetap menjalankan tanggungjawabnya dengan membantu menjaga anaknya, Muhammad Syaqil Mohammad Syafiq atau nama manjanya Syaqil yang berusia dua bulan di rumah ketika isteri, Nur Intan Shazwin Husaini, 28, keluar bekerja.
“Saya dan isteri sama-sama bekerja cuma bezanya, saya mencari rezeki dari rumah.
“Jadi kebanyakan masa saya bersama anak di rumah…boleh dikatakan, saya ibu dan ayah waktu isteri tiada di rumah kerana bantu mandikan, cuci najis dan beri anak minum susu.
“Tapi saya tinggal di rumah bersama keluarga termasuk ibu (Mariyam Kassim, 62) dan ayah (Mohd Noh Osman, 65)… waktu isteri bekerja, ibu yang banyak membantu saya uruskan anak,” katanya kepada Harian Metro.
Menceritakan perihalnya, Mohammad Syafiq berkata, dia disahkan OKU CP sejak lahir selepas diserang demam panas ketika berusia sembilan bulan.
Katanya, keadaan itu menyebabkan pergerakannya terbatas serta pertuturan tidak lancar namun tiada pilihan melainkan belajar menerima dan menyesuaikan diri.
“Waktu kecil, kehidupan saya agak berbeza berbanding orang lain kerana ada beberapa perkara yang mencabar tapi keluarga banyak membantu serta memberi semangat kepada saya.
“Bila semakin membesar, saya belajar untuk lebih berdikari, yakin dengan diri sendiri dan menerima diri saya seadanya.
“Alhamdulillah, saya dikelilingi ramai orang yang baik tapi pernah dipandang sinis namun saya anggap semua itu sebagai proses yang mematangkan diri saya,” katanya.
Menurut Mohammad Syafiq, cabaran terbesarnya adalah komunikasi dan pergerakan yang terhad.
Bagaimanapun, Mohammad Syafiq percaya setiap individu diuji dan bersyukur dengan apa sudah dianugerahkan Allah SWT termasuk pasangan juga zuriat.
“Saya mula berkenalan dengan isteri pada 2022 dan ditakdirkan berumah tangga dua tahun lalu.…semuanya berlaku dengan aturan yang sangat indah dan dipermudahkan.
“Alhamdulillah isteri dan keluarganya menerima saya dengan sangat baik. Itu antara perkara paling saya syukuri kerana penerimaan dan sokongan mereka sangat bermakna buat saya.
“Ia kerana keadaan diri menyebabkan saya pernah berasa rendah diri dan terfikir adakah saya akan berkahwin seperti orang lain tapi diizinkan Allah SWT untuk ada pasangan.
“Tak sangka berkahwin dan bergelar ayah…perasaan itu memang susah nak digambarkan malah sangat bersyukur, gembira dan rasa tanggungjawab itu makin besar,” katanya yang menyifatkan isteri sebagai sahabat dan penyokongnya kerana banyak membantu sejak awal perkahwinan hingga kini.
Sebagai ketua keluarga, Mohammad Syafiq mahu terus memperbaiki diri untuk menjadi suami dan bapa yang lebih baik di samping meneruskan minat serta apa saja peluang yang boleh memberi manfaat kepada orang lain.
“Saya nak jadi ayah yang hebat untuk anak saya, Syaqil dan saja kongsi kenangan dengannya di media sosial.
“Tak sangka perkongsian saya itu mendapat perhatian ramai. Alhamdulillah, penerimaan netizen sangat baik dan ramai yang memberi kata-kata positif serta semangat,” katanya.
Sementara itu, isterinya, Nur Intan Shazwin tidak menyangka akan berkahwin dengan Mohammad Syafiq namun menerima lamaran suami kerana melihat kesungguhan dan keikhlasan lelaki itu memperisterikannya
Wanita itu menyifatkan suaminya sama seperti lelaki lain walaupun berstatus OKU dan ada kekurangan pada zahirnya.
“Hubungan kami bermula sebagai kawan dan waktu suami luahkan perasaannya, saya fikir panjang juga tapi akhirnya terima kerana nampak dia tak berputus asa.
“Emak dan abah pun restu malah suami kini menantu serta ipar kesayangan dalam keluarga.
“Walaupun pertuturannya tak jelas, tapi saya faham setiap butir kata yang keluar daripada mulutnya. Setakat ini, kami bahagia malah bersyukur sangat kerana sudah dikurniakan seorang cahaya mata.
“Tak ada apa yang saya harapkan melainkan hubungan dan jodoh berpanjangan dengan suami hingga ke syurga,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




