Empat cadangan PVTM kepada Kementerian Komunikasi

Empat cadangan PVTM kepada Kementerian Komunikasi

najiy.jefri@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) mengusulkan empat cadangan kepada Kementerian Komunikasi bagi mewujudkan sebuah ekosistem kondusif dalam industri kandungan TV Malaysia.

PTVM yang diwakili presidennya, Datuk Jurey Latiff Rosli hadir bertemu dengan Timbalan Ketua Setiausaha, Kementerian Komunikasi, Nik Kamaruzaman Nik Husin, semalam.

“PTVM membentangkan empat perkara iaitu menilai keperluan kawalan jumlah syarikat berdaftar dengan Kementerian Komunikasi untuk menyertai saringan ‘pitching’ di RTM.

“Cadangan kedua pula memastikan syarikat penerbitan yang mempunyai lesen Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) wajib menjalani kursus atau latihan berskala di bawah program MyCAP Finas.

“Ketiga merealisasikan Co-Pro antarabangsa melalaui Dana Finas dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) serta mengekspot kandungan RTM melalui kerjasama kerajaan dan swasta,” kata PTVM dalam satu kenyataan, semalam.

Pihaknya berharap Kementerian Komunikasi dapat mewujudkan ekosistem yang kondusif melalui dasar-dasar baru yang lebih berkesan memandangkan peruntukan kepada Finas dan RTM semakin berkurangan.

“Industri perlu dibentuk dengan lebih berstruktur bagi memastikan daya saing dan kemampuan menarik pihak korperat dalam dan luar negara untuk melabur dalam industri ini.

“Cadangan untuk mengguna pakai kaedah yang dilaksanakan oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dilihat sebagai model yang baik untuk syarikat penerbitan TV dalam kaedah perolehan di RTM.

“Kajian menyeluruh perlu dilakukan jika Kementerian Komunikasi ingin melihat landskap industri yang lebih dinamik dengan mengambil kira dasar Kerajaan Madani hari ini yang melakukan penstrukturan kepada subsidi bersasar kepada rakyat,” katanya.

Turut hadir pada pertemuan itu ialah wakil PTVM Setiausaha Kehormat, Anuar Che Embi dan Ahli Jawatankuasa Omar Ahmad.

© New Straits Times Press (M) Bhd