Empat individu dirakam keterangan berhubung Langkah Dubai

Empat individu dirakam keterangan berhubung Langkah Dubai

harisfadli@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Empat individu dirakam keterangan hari ini berhubung ‘Langkah Dubai’ dan dakwaan parti Perikatan Nasional (PN) merasuah Yang di-Pertuan Agong.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Hussain berkata, sebanyak 145 laporan diterima berhubung isu itu setakat hari ini.

“PDRM memanggil Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Komuniti) Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) Datuk Ismail Yusop; Wan Muhammad Azri Wan Deris (Papagomo); Badrul Hisham Shaharin (Chegubard) dan Mohamad Salim Iskandar.

“Mereka dipanggil mengikut Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah hari ini berhubung gerakan Langkah Dubai untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga membuka satu kertas siasatan berhubung dakwaan PN cuba memberi rasuah kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menggulingkan kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu Harian Metro melaporkan PDRM menerima 43 laporan daripada wakil parti politik berhubung gerakan ‘Langkah Dubai’ yang dikatakan bertujuan menjatuhkan Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Laporan polis itu berdasarkan penularan rakaman video tiga hingga empat orang berkaitan aktiviti memudaratkan demokrasi berparlimen.

Razarudin berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Kes masih di peringkat siasatan dan PDRM menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi dan komentar yang boleh mengganggu siasatan.

“Kertas siasatan akan dilengkapkan dan dirujuk ke Pejabat Peguam Negara selari dengan peruntukan Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top