Empat individu disyaki buli pelajar ditahan polis

Empat individu disyaki buli pelajar ditahan polis

am@hmetro.com.my

Beaufort: Polis menahan empat individu yang disyaki terbabit dalam kes memeras ugut dan membuli seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun di Membakut, minggu lalu.

Kejadian dipercayai berlaku pada 8 Julai lalu apabila mangsa mendakwa dipaksa menyerahkan wang secara berulang sebelum turut menerima ugutan jenayah daripada suspek.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintendan Champin Piuh berkata, susulan laporan diterima, Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 507B Kanun Keseksaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Katanya, hasil tindakan pantas dan risikan dijalankan, polis berjaya menahan empat suspek pada 9 Julai lalu bagi membantu siasatan.

“Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai menjadi sasaran perbuatan meminta wang secara berulang sebelum turut menerima ugutan jenayah.

“Semua suspek sudah diambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa dan siasatan masih diteruskan sebelum kertas siasatan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) untuk arahan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Champin turut menggesa pelajar, ibu bapa dan pihak sekolah supaya sentiasa peka terhadap sebarang perlakuan buli atau ugutan serta segera membuat laporan polis sekiranya mempunyai maklumat berkaitan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top