am@hmetro.com.my
Ipoh: Cubaan beberapa pendatang asing tanpa izin (PATI) melarikan diri ketika Ops Bersepadu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perak gagal apabila 22 orang ditahan dalam serbuan di 12 premis, di sini hari ini.
Pengarah Jabatan Imigresen Perak, Datuk James Lee berkata, dalam operasi jam 10 pagi itu, PATI yang ditahan terdiri daripada 16 warga Bangladesh, Indonesia (dua), Pakistan (dua) dan masing-masing seorang warga Myanmar dan Kemboja.
Beliau berkata, semua warga asing yang ditahan berusia antara 25 hingga 45 tahun.
“Antara kesalahan yang dikesan ialah tinggal melebihi tempoh dibenarkan, tidak memiliki pas yang sah dan gagal mengemukakan pasport ketika disiasat.
“Mereka yang ditahan dibawa ke pejabat JIM Perak untuk siasatan dan tindakan lanjut jika didapati bersalah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada masa sama beliau menasihatkan mana-mana majikan untuk melalui proses pengambilan pekerja asing secara sah menerusi JIM bagi mengelakkan pelanggaran undang-undang.
© New Straits Times Press (M) Bhd




