Empat tahun menunggu, tidak merubah kasih isteri, anak

Empat tahun menunggu, tidak merubah kasih isteri, anak

hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Ampang: “Empat tahun adalah episod sukar apabila suami tidak mengenali saya dan dua anak, tetapi kami akan setia menunggu sehingga dia selesai menjalani rawatan psikiatri, harap suami tidak akan lupakan saya.”

Begitu kata Siti Sunarni Heruna, 37, yang berkongsi kisahnya menjaga suaminya, Mohd Tarmizi Resad, 43, yang mengalami masalah hilang ingatan selepas terbabit dalam kemalangan motosikal, empat tahun lalu.

Akibat kemalangan itu, Mohd Tarmizi mengalami hentakan di kepala menyebabkan gegaran kuat pada otaknya serta koma selama seminggu dan sejak itu hilang ingatan.

Berkongsi kisahnya, Siti Sunarni berkata, pada hari pertama kejadian menimpa suaminya, dia sudah reda apabila doktor memaklumkan keadaan Mohd Tarmizi hanya 50-50 serta meminta mereka bersedia untuk sebarang kemungkinan.

Menurutnya, sebaik saja sedar daripada koma, suami tidak mengingatinya termasuk dua anak mereka berusia 11 dan 14 tahun dan ahli keluarganya kecuali bapa lelaki itu dan ibunya (ibu mentua Mohd Tarmizi).

“Hampir setiap hari saya akan terang kepada suami siapa ahli keluarganya. Suami hanya tahu nama panggilan saya iaitu ‘Ina’ dan ‘sayang’ serta panggilan anak, kalau tanya nama sebenar kami dia tidak akan tahu, cuma sejak tahun lalu dia sudah tidak mengenali mak saya.

“Setiap kali adik-beradik suami melawat, mereka akan beritahu nama dan siapa mereka kepada suami. Kadang-kadang keadaan suami agak agresif apabila tidak dapat mengawal keadaan diri dan berhalusinasi, tetapi setakat ini keadaan masih baik,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Katanya, keadaan itu juga menyebabkan suami tidak lancar membaca dan tidak boleh menulis sehingga kini, namun boleh membaca al-Quran dengan baik dan menjadi terapi untuk suami sepanjang tempoh berkenaan.

Peniaga makanan itu berkata, empat tahun bukan tempoh mudah dan amat sukar untuk dirinya dan dua anak mereka, namun mengakui selagi berdaya mereka akan terus bersama suami sehingga lelaki itu sembuh.

“Kalau dahulu dia yang menjaga kami, tetapi kini kami pula menjaganya. Kekuatan saya adalah keluarga terutama dua anak dan kami sekeluarga sangat rapat serta susah senang bersama sejak dahulu.

“Suami tidak suka marah, memahami, ringan tulang dan kami sentiasa ‘berkepit’ ke mana saja, jadi dalam keadaan begini saya akan terus bersama seperti ikrar kami untuk susah senang bersama,” katanya.

Katanya, Mohd Tarmizi kini menjalani rawatan psikiatri di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sejak Isnin lalu dan mereka sekeluarga ‘berpisah’ sementara kira-kira sebulan.

“Semoga ada sinar untuk keluarga kami dan suami kembali sembuh. Saya suka kongsikan kisah kami di TikTok untuk kenangan, namun tidak sangka pula ramai memberi perhatian.

“Andai kata suami sihat nanti, dia boleh melihat semula perjuangan kami dan proses sembuhnya,” katanya menetap di Taman Bukit Permai, di sini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top