Enam pemancing alas perut dengan tangkap ikan – Utusan Digital

KEMAMAN: Enam pemancing yang hilang di perairan Kemaman terpaksa mengalas perut dengan memakan ikan yang ditangkap tanpa nasi berikutan kehabisan bekalan makanan.

Seorang mangsa, Muhammad Hazim Luqman Zakaria, 19, berkata, selama tiga hari mereka melalui situasi itu kerana barangan makanan yang dibawa seperti roti, beras dan air hanya cukup untuk tempoh dua hari.

“Bekalan makanan habis pada hari kedua. Jadi setiap kali hendak makan, kami terpaksa memancing ikan dan memasak menggunakan peralatan yang ada dalam bot di samping turut mencatu air minuman.

“Bot kami rosak selepas empat jam perjalanan iaitu kira-kira 10 batu nautika dari Kuala Kemaman sebelum sempat ke lokasi memancing kerana kipas tercabut lalu menyebabkan bot tidak dapat bergerak,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman di sini hari ini.

Sementara itu, seorang lagi mangsa, Rosidi Mohamad, 29, berkata, situasi menjadi lebih cemas apabila bot berkenaan turut bocor sekali gus menyebabkan mereka tidak boleh mematikan enjin bagi mengelak risiko karam.

Katanya, sepanjang tempoh itu mereka berusaha membuat panggilan kecemasan dan menghubungi keluarga masing-masing untuk mendapatkan bantuan namun hanya sia-sia kerana tiada liputan telekomunikasi.

“Kami terpaksa membiarkan bot hanyut dengan harapan dapat bertembung dengan nelayan lain, pada masa itu memang bimbang sebab minyak bekalan hanya dapat bertahan pada hari ini sahaja.

“Semasa di tengah laut, kami nampak dua bot nelayan dan cuba melambai dengan menggunakan jaket keselamatan dan lampu suluh tetapi gagal kerana keadaan hujan lebat di samping kabus menyebabkan mereka tidak nampak kehadiran kami,” katanya.

Menurut Rosidi, dia bersyukur kerana bot mereka ditemui sebuah bot nelayan Pahang pada yang kebetulan melalui kawasan tersebut pada petang semalam, malah mereka turut diberikan makanan serta minuman.

Kesemua enam pemancing yang dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin Wilayah 3 Kuantan di Pahang itu tiba di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman di sini kira-kira pukul 6.30 petang tadi sebelum diserahkan kepada keluarga masing-masing. – UTUSAN ONLINE

Scroll to Top