GERIK: Kesemua enam individu yang dilaporkan hilang ketika aktiviti pendakian Gunung Trans Gerah (Trans GGB) di Hutan Simpan Lojing, Kelantan, selamat dibawa turun dari Kem Kulim ke Kampung Lelar pada pukul 8.45 malam tadi.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Abdul Samad Othman berkata, kesemua mangsa kemudian dibawa menerima rawatan di Klinik Kesihatan Pos Kemar.
“Kesemua mangsa telah dijumpai di Kem Kulim oleh pasukan malim gunung dari Perak dan Kelantan seramai 10 anggota.
“Kesemua mangsa berada dalam keadaan baik dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu, operasi SAR mengesan kesemua mangsa digerakkan selepas mereka gagal keluar mengikut jadual di Pos Kemar pada 3 September lalu.
Keenam-enam individu itu dilaporkan memulakan pendakian merentas tiga puncak gunung iaitu Gerah, Bilah dan Bieh (Trans GGB) pada 29 Ogos lalu.
Enam individu terbabit ialah dua malim gunung, Shafiee Sidek, 49, dan Hazman Mamat, 43, serta empat sekeluarga iaitu Wan Ahmad Aslam Wan Zairudin, 39, isterinya, Siti Zulaiha Norizan, 39, dan dua anak mereka, Diya Raisha, 13, serta Ahmad Raef, 9. – UTUSAN

