Enam suspek disyaki culik remaja direman 14 hari

Enam suspek disyaki culik remaja direman 14 hari

am@hmetro.com.my

Seremban: Enam suspek yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes culik seorang remaja perempuan di daerah ini pada 10 April lalu direman 14 hari bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, kesemua suspek berusia 20 hingga 31 tahun itu direman bermula 14 April hingga 27 April.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai kes berkenaan kerana diambil alih Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman.

Terdahulu keenam-enam suspek dibawa menaiki van polis ke Mahkamah Majistret, di sini, bagi permohonan reman kira-kira jam 5.20 petang.

Sebelum ini media melaporkan seorang daripada suspek yang dipercayai terbabit dalam kes berkenaan ditembak mati di Bandar Bukit Tinggi, Klang, Selangor, awal pagi hari ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) (Risikan/Operasi) Bukit Aman, Datuk Fadil Marsus dilaporkan berkata, suspek lelaki berusia 21 tahun itu cuba meloloskan diri ketika ditahan dan memandu secara melawan arus serta melanggar kenderaan polis.

Menurutnya, kejadian culik pada jam 5.45 petang 10 April itu membabitkan mangsa seorang perempuan berusia 16 tahun dengan permintaan wang tebusan berjumlah RM2 juta.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top