Endrick idam penampilan kali kedua

Endrick idam penampilan kali kedua

rizar@mediaprima.com.my

Johor Bahru: Pemain naturalisasi Harimau Malaya, Endrick Dos Santos menzahirkan rasa puas hati selepas meraih kaps pertama apabila membantu skuad kendalian Kim Pan-gon mencipta kemenangan tipis 1-0 ke atas Turkmenistan pada perlawanan antarabangsa Tier-1 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, kelmarin.

Pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT) itu berkata, walaupun gagal menjaringkan gol selepas ada beberapa percubaan yang tepat ke arah gol lawan, ia tidak membuat dirinya kecewa malah, dia mahu beri yang lebih seandai diturunkan menentang Hong Kong, Selasa ini sekali gus meraih kaps kedua.

Dia menegaskan kehadirannya dalam skuad Harimau Malaya adalah untuk mengimbangi kekuatan di posisi tengah dan menjadi nadi utama menggerakkan posisi itu supaya lebih efisien dengan taktikal yang dirancang ketua jurulatih.

“Langsung tidak terkilan apabila tidak menjaringkan gol, saya hadir untuk membentuk barisan tengah yang lebih mantap dan berterima kasih kepada `coach’ yang beri ruang dan peluang untuk beraksi, malah kemenangan yang diraih sememangnya amat mengujakan.

“Walaupun saya beraksi sedikit ke bawah di posisi tengah dan tidak seperti ketika beraksi bersama JDT tapi saya selesa dengan apa yang diarahkan oleh jurulatih, malah rakan sepasukan juga banyak membantu dalam perlawanan itu.

“Apapun ada sedikit salah faham ketika beraksi di padang terutama untuk membuat lorongan kepada rakan memandangkan kami hanya menjalani latihan dan tempoh yang agak singkat dan masih memahami cara lenggok permainan rakan sepasukan,” katanya.

Pemain kelahiran Brazil itu menegaskan apa yang penting sepanjang sesi latihan skuad kebangsaan adalah membentuk persefahaman yang jitu dan tiada masalah berkomunikasi antara setiap pemain kerana setiap pemain ada cara sendiri beraksi dan memahami gaya larian dan ketepatan mengumpan menjadi faktor utama.

“Untuk aksi Hong Kong, Selasa ini, kami bersedia malah kemenangan ke atas Turkmeninstan memberi keyakinan untuk berdepan pasukan lawan seterusnya dan apa yang penting mengekalkan momentum permainan dengan konsisten dan berusaha merekod kemenangan kedua nanti,” kata Dos Santos.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top