Pelakon dan penyanyi, Erra Fazira menafikan dakwaan kononnya dia bakal melangsungkan pernikahan dengan usahawan, Ezwan Zain, dalam masa terdekat.
Memetik laporan Harian Metro, Erra atau nama lengkapnya, Fazira Wan Chek, 51, menjelaskan perbincangan rasmi antara keluarga kedua-dua pihak juga belum pernah diadakan.
“Kalau betul kahwin bulan depan, mestilah sekarang saya tengah sibuk buat persiapan. Nak kata ya pun tak boleh, nak kata tidak pun tak adil sebab keluarga sendiri belum tahu.
“Kalau ada pernah berbincang pun, itu sekadar angan-angan, bukan keputusan serius,” katanya.
Erra berkata, sekiranya sampai waktunya nanti, dia lebih selesa memilih majlis yang sederhana tanpa perlu dihebahkan secara besar-besaran.
“Kalau sudah ada tarikh, saya tidak akan umum besar-besaran. Cukup sekadar keluarga dan kenalan rapat tahu.
“Kami hanya mahukan majlis sederhana tetapi bermakna. Yang lebih penting ialah kehidupan selepas itu, bukan majlisnya,” katanya.
Dalam masa sama, pelantun lagu Jendela Hati ini tidak menolak kemungkinan spekulasi mengenai ‘hari bahagia’ tercetus selepas ada pihak yang menawarkan tajaan untuk majlis berkenaan.
Sebelum ini, tular klip video memaparkan Erra dan Ezwan dalam siaran langsung di media sosial yang memperlihatkan kemesraan mereka.
Untuk rekod, Erra pernah berkahwin dengan anggota KRU, Datuk Yusry Abdul Halim, pada 2003 namun berpisah tiga tahun kemudian.
Erra kemudian mendirikan rumah tangga dengan usahawan, Engku Emran, pada 2007 sebelum bercerai pada 2014.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Engku Aleesya, kini berusia 16 tahun.
Sumber: Harian Metro




