PEKANBARU – Di sebalik deretan rumah sederhana diperbuat daripada kayu dan kanvas, suara kanak-kanak kedengaran memenuhi sebuah penempatan pelarian Rohingya di Pekanbaru, Riau, Indonesia.
Ada yang berlari dan bermain bersama rakan, sementara golongan dewasa meneruskan kehidupan harian dengan berniaga dan mengurus keluarga.
Penempatan itu kini menyerupai sebuah perkampungan kecil dengan pasar, warung, kedai gunting rambut dan peniaga minuman.
Kebanyakan penghuninya masih berkomunikasi menggunakan bahasa Rohingya. Sebahagian boleh bertutur bahasa Melayu, manakala hanya segelintir mampu berbahasa Indonesia meskipun belum fasih.

Deretan penempatan yang dibina oleh pelarian Rohingya. – Agensi
Seorang pelarian, Muhammad berkata, beliau sudah menetap di situ kira-kira tiga tahun dan menganggarkan terdapat sekitar 130 rumah di kawasan berkenaan.
Seorang lagi penghuni, Abdullah menganggarkan kira-kira 570 orang tinggal di penempatan itu.
Daripada jumlah berkenaan, sekitar 200 merupakan kanak-kanak.
Bagi Abdullah, keselamatan menjadi antara faktor utama mereka memilih Indonesia sebagai tempat berlindung selain negara itu mempunyai majoriti penduduk beragama Islam.
“Kami mencari keamanan. Indonesia menjadi pilihan kerana keadaan di sini lebih selamat berbanding negara lain,” katanya.
Menurut Faruk, seorang lagi pelarian, komuniti itu turut mempunyai dua sekolah, madrasah untuk pengajian al-Quran dan sebuah masjid.
Sebahagian penghuni dewasa pula mencari pendapatan dengan bekerja sebagai buruh binaan di kawasan sekitar.
Namun, komuniti di penempatan tersebut hanya sebahagian daripada jumlah keseluruhan pelarian di Pekanbaru.
Ketua Rumah Detensi Imigrasi Pekanbaru, Adrianus Tonny Budijaya berkata, kira-kira 1,941 pelarian berada di bawah kawasan seliaannya dengan majoritinya Rohingya.
Mereka ditempatkan di tujuh lokasi penginapan dan sebuah pusat perlindungan sementara.
Menurut Tonny, pelarian Rohingya berkenaan berada di bawah perlindungan Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) selain menerima kemudahan daripada Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM).
Di sebalik segala keterbatasan, kehidupan komuniti itu terus berjalan dengan anak-anak ke sekolah, peniaga membuka warung dan keluarga meneruskan rutin harian di tempat yang kini menjadi kediaman mereka sejak bertahun-tahun lalu. – Agensi
