BUCHAREST, Romania: Didier Deschamps enggan menyalahkan Kylian Mbappe selepas gagal menyempurnakan penalti yang menyebabkan Perancis tersingkir dari Euro 2020 ketika berdepan Switzerland dalam saingan dramatik aksi pusingan 16 terbaik di sini.
Switzerland menjaringkan dua gol lewat permainan dalam tempoh 90 minit untuk membawa perlawanan ke tambahan masa sebelum penyerang Paris Saint-Germain (PSG) itu gagal menyempurnakan penalti.
Penjaga gol Switzerland, Sommer menyelamatkan cubaan Mbappé seterusnya menyingkirkan Perancis.
“Tiada siapa boleh menyalahkannya,” kata pengurus Perancis itu. “Apabila anda mengambil tanggungjawab, ia boleh berlaku. Dia sangat terkesan dengan keadaan itu.”
Mbappé ditenangkan rakan sepasukan selepas sepakan berkenaan berikutan sembilan sepakan sempurna.
“Kylian mengambil tanggungjawab, dia rasa bersalah, tapi dia sepatutnya tidak merasa begitu,” kata Deschamps. “Skuad tetap bersatu, ia sentiasa begitu.”
Kapten Perancis, Hugo Lloris juga senada.
“Kami menang bersama, kami kalah bersama,” katanya. “Kami semua bertanggungjawab kerana tersingkir pada tahap ini. Tiada siapa menyalahkan sesiapa.”
– AGENSI
© New Straits Times Press (M) Bhd




