GLASGOW: Hasrat Scotland untuk mara ke peringkat kalah mati Euro 2020 menerima tamparan apabila pemain tengahnya, Billy Gilmour disahkan positif COVID-19.
Persembahan pemain terbaik ketika menentang England itu menyemarakkan jangkaan Scotland untuk mara ke pusingan seterusnya menjelang aksi penentuan menentang Croatia, Rabu ini.
Namun Gilmour tidak akan turun beraksi menentang Croatia selepas didapati positif virus itu dan perlu dikuarantin selama 10 hari.
Persatuan Bolasepak Scotland dalam satu kenyataan memaklumkan ‘selepas berbincang dengan Keselamatan Awam England sejak kes positif direkodkan, Billy akan dikuarantin selama 10 hari dan terlepas perlawanan menentang Croatia di Hampden.
Sejurus selepas berita mengenai itu dihebahkan, satu video daripada hotel pasukan tersebar yang menyaksikan pemain muda itu sedang bermain ping pong.
Diambil menerusi Instastory Andy Roberton, video itu menampilkan Gilmour dan John McGinn sedang bermain pingpong di hotel pasukan.
Bagaimanapun, video terbabit sudah dipadam daripada akaun pemain Liverpool itu.
Sportsmail difahamkan tiada lagi kontak rapat dalam kem Scotland yang akan dipaksa menjalani kuarantin susulan insiden terbabit.
Kedua-dua pemain dari Scotland dan England menjalani ujian COVID-19 secara rutin dan jawatankuasa akan memutuskan sama ada kes membabitkan Gilmour adalah kes terpencil. -Agensi
© New Straits Times Press (M) Bhd




