EURO: Ronaldo berang sebelum ledak dua gol

EURO: Ronaldo berang sebelum ledak dua gol

BUDAPEST: Kapten Portugal, Cristiano Ronaldo mengamuk terhadap rakan sepasukannya, Diogo Jota pada babak pertama ketika pertemuan menentang Hungary dalam kempen Euro 2020, awal pagi tadi.

Ia susulan tindakan Jota yang juga penyerang Liverpool melakukan percubaan terus yang kemudiannya berjaya diselamatkan penjaga gol Hungary, Peter Gulacsi.

Ronaldo berang kerana Jota tidak memberikannya bola biarpun dia berada di posisi yang lebih baik bagi melakukan percubaan.

Kemarahan Ronaldo itu bagaimanapun reda selepas dia meledak dua gol termasuk sepakan penalti untuk kemenangan 3-0.

Dia turut berterima kasih kepada rakan sepasukan yang membantunya bergelar penjaring terbanyak sepanjang zaman dalam sejarah Kejohanan Eropah.

Penyerang Juventus itu kini sudah merekodkan 11 gol dalam saingan Eropah, dua gol mengatasi legenda bola sepak Perancis, Michel Platini yang meledak sembilan ketika membawa The Les Bleus melakar kejayaan pada tahun 1984.

Pemain berusia 36 tahun itu juga kini hanya kurang tiga gol bagi menyamai rekod pemain Iran, Ali Daei sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman di pentas antarabangsa.

“Ia adalah perlawanan yang sukar menentang lawan yang bertahan dengan baik sepanjang 90 minit permainan. Namun, kami berjaya menjaringkan gol dan saya berterima kasih kepada pasukan yang membantu saya meledak dua gol.

“Ia penting untuk kami bermula dengan langkah kanan bagi meningkatkan keyakinan. Kami perlu mengekalkan konsistensi dan memenangi perlawanan seterusnya,” kata Ronaldo. – AGENSI

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top