SEREMBAN – Kerajaan Negeri Sembilan membuat keputusan kolektif bahawa proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai di-Pertuan Besar Negeri Sembilan adalah sah.
Menerusi satu kenyataan, perkara tersebut diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Negeri Sembilan yang bersidang pada Selasa dan dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim dengan Tuanku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar diiktiraf sebagai Yang di-Pertuan Besar baharu berkuat kuasa serta-merta.
Dalam kenyataan tersebut, menurut Perkara 10 Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959 bertarikh 19 April 2026 telah ditandatangani dan dicop mohor oleh Undang Luak yang sah dan berkuat kuasa.
“Adalah prerogatif mutlak Undang Yang Empat untuk memilih dan menurunkan takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan prerogatif ini dijamin oleh Perkara 32 dan Perkara 79 UUTKNS 1959 serta Perkara 71 dan 181 Perlembagaan Persekutuan.
“Proklamasi tersebut juga telah ditandatangani oleh Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim pada 3 Ogos 2026 menjadikan proklamasi tersebut sempurna menurut Perkara 10 (2) UUTKNS 1959,” menurut kenyataan itu pada Rabu.
Barisan exco kerajaan negeri juga sebulat suara bahawa proklamasi pemilihan Tuanku Nadzaruddin menurut Perkara 11 UUTKNS 1959 bertarikh 19 April 2026 telah ditandatangani dan dicop mohor oleh Undang Luak yang sah dan berkuatkuasa.
Justeru proklamasi itu adalah teratur dan sempurna menurut UUTKNS 1959.
“Bahawa pentadbiran kerajaan negeri hendaklah mengambil langkah serta-merta melaksanakan pengumuman ini bagi mematuhi sabda dan ketetapan Undang Yang Empat,” menurutnya.
Kenyataan tersebut turut dikongsikan oleh Exco Kemajuan Luar Bandar dan Pembangunan Wilayah Negeri Sembilan, Datuk Mohd Faizal Ramli di Facebook.
Barisan Exco negeri terdiri daripada Datuk Ismail Lasim; Datuk Zaifulbahri Idris (Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Modal Insan); Datuk Mustapha Nagoor (Exco Pembangunan Belia dan Sukan); Siow Kong Choon (Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Hal Ehwal Bukan Islam) dan Siti Nur Umaira Hasim (Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat).
Selain itu Datuk Mohd Asna Amin (Exco Perindustrian, Teknologi, Inovasi dan Digital); Datuk Mohd Razi Mohd Ali (Exco Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup); Suhaimizan Bizar (Exco Kesihatan, Perpaduan, Penerangan, Integrasi Nasional dan NGO), Mohd Fairuz Mohd Isa (Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan) serta Datuk Razali Abu Samah (Exco Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan).