Pelakon jelita Eyka Farhana belum sedia untuk mengubah penampilan dengan memakai tudung seperti yang diharapkan oleh orang ramai selepas pulang daripada mengerjakan ibadah umrah, baru-baru ini.
Aktres berusia 29 tahun berkata, dirinya masih belum bersedia untuk membuat perubahan dari segi penampilan.
Eyka Farhana belum sedia
Susulan itu, pemilik nama Wan Atiqa Wan Sarmizi tampil memohon maaf kepada pengikut yang beranggapan pakaian yang digayakannya terlalu berlebihan.
“Jujurnya, soal penampilan atau perubahan diri terlalu peribadi untuk diperkatakan. Saya faham pengikut mengharapkan perubahan bila saya pulang mengerjakan umrah seperti memakai tudung dan sebagainya.
“Tapi, mungkin perkara itu belum lagi buat saya. Saya juga mohon maaf jika pakaian saya terlalu berlebihan.
“Insya-Allah, manalah tahu saya akan berubah suatu hari nanti. Manusia kalau nak berubah tak semestinya berlaku bila balik umrah sahaja,”katanya.
Tambahnya, dia juga boleh berubah jika berada di Malaysia, namun amat memahami niat mereka yang tidak henti memberi teguran kepadanya.
“Mungkin orang selalu bercakap soal saya sebab mereka sayang dan ambil berat.
“Saya sangat memahami niat mereka dan tak pernah salahkan mereka. Cuma apa yang boleh saya katakan, moga saya akan berubah dan dapat memperbaiki diri untuk menjadi lebih baik,” katanya lagi.
Eyka Farhana suka tangkap gambar, nafi tak fokus ibadat
Dalam pada itu, Eyka menafikan dirinya tidak fokus melakukan ibadat sewaktu berada di Tanah Suci Mekah.
Sebaliknya, dia hanya berkongsi keterujaan dan momen menarik sepanjang di Mekah dan Madinah bersama pengikut media sosial.
“Saya memang suka ambil gambar. Kalau pergi mana-mana, saya tetap rakamkan momen atau tempat menarik yang saya kunjungi, bukannya di Tanah Suci sahaja.
“Lagipun banyak tempat yang cantik di Tanah Suci yang perlu saya kongsi. Selain dapat tunjukkan keindahan bumi Anbia, dapatlah juga saya mendorong pengikut untuk pergi ke sana.
“Kalau nak kata saya tak fokus ibadat, itu memang tidak benar. Lagipun, tak semua benda saya kena kongsi dalam media sosial terutamanya soal ibadah,” jelasnya.
Disoal mengenai perasaannya, Eyka akui teruja, namun berasa begitu tenang sewaktu kali pertama diundang menjadi tetamu Allah.
Artikel lain: Netizen sakit mata lihat penampilan seksi Eyka Farhana -“Macam sia2 pergi umrah”
Nafi merisik, bertunang dengan Akhyar
Kongsi Eyka lagi, dia menafikan dirinya sudah dirisik dan mengikat tali pertunangan dengan kekasih hati yang juga pemain bola sepak kebangsaan, Akhyar Rashid.
“Dari mana dengar berita ini? Kalau betul ada majlis merisik atau bertunang, saya akan beritahu. Sudah pasti saya akan umumkan berita gembira dalam media sosial,”jelasnya.
Moga suatu hari nanti Eyka Farhana terbuka hati dan ikhlas untuk menutup aurat serta tampil dengan gaya yang jauh lebih sopan dari sebelum ini.
Sumber: BH Online (Farihad Shalla Mahmud)