Xiaomi lancar REDMI Note 17, bateri 10,000mAh pertama dalam siri

Xiaomi lancar REDMI Note 17, bateri 10,000mAh pertama dalam siri

XIAOMI melancarkan siri telefon pintar terbaharunya, REDMI Note 17 Series, dengan memperkenalkan empat model baharu termasuk model Pro Max 5G yang julung kali diperkenalkan dalam barisan REDMI Note.

Pelancaran tersebut turut mencatat sejarah apabila siri REDMI Note melepasi 500 juta unit penghantaran di seluruh dunia, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara siri telefon pintar paling laris keluaran Xiaomi.

Menurut Xiaomi, siri baharu tersebut dibangunkan berteraskan falsafah ‘Built for Years’ dengan penekanan terhadap ketahanan jangka panjang menerusi kualiti REDMI Titan Quality, bateri berkapasiti lebih besar serta reka bentuk yang lebih lasak untuk kegunaan harian.

Model utama, REDMI Note 17 Pro Max 5G, hadir dengan bateri 10,000mAh, terbesar pernah ditawarkan Xiaomi pada telefon pintarnya.

Ia turut menyokong pengecasan pantas 100W HyperCharge serta pengecasan songsang 27W.

Bagi model lain, REDMI Note 17 Pro 5G dilengkapi bateri 8,340mAh bersama pengecasan 67W, manakala REDMI Note 17 5G dan REDMI Note 17 masing-masing menggunakan bateri 7,700mAh dengan pengecasan turbo 45W.

Xiaomi lancar REDMI Note 17, bateri 10,000mAh pertama dalam siri

Model utama, REDMI Note 17 Pro Max 5G, hadir dengan bateri 10,000mAh, terbesar pernah ditawarkan Xiaomi pada telefon pintarnya.

Xiaomi memaklumkan, sistem pengurusan bateri pintar membolehkan kapasiti bateri kekal sekurang-kurangnya 80 peratus selepas 1,600 kitaran pengecasan, bersamaan kira-kira enam tahun penggunaan biasa.

“Siri ini menawarkan bateri yang jauh lebih besar serta pengecasan lebih pantas untuk ketahanan penggunaan lebih lama, di samping rintangan air dan hentakan yang dipertingkatkan serta bahasa reka bentuk serba baharu.

“Kesemua pembaharuan ini membawa kebolehpercayaan jangka panjang ke dalam segmen telefon pintar kelas pertengahan, sekali gus merealisasikan visi REDMI untuk menghasilkan telefon pintar yang dibina untuk digunakan selama bertahun-tahun,” katanya dalam kenyataan.

Selain bateri, dua model Pro menjadi yang pertama dalam industri menerima pensijilan TÜV SÜD 5-Star Titan Quality, yang menilai ketahanan telefon menerusi ujian jatuhan, rintangan air dan prestasi bateri dalam pelbagai keadaan ekstrem.

Kedua-dua model berkenaan juga memiliki penarafan kalis air dan habuk IP66, IP68, IP69 serta IP69K, selain lulus ujian rendaman air sedalam dua meter selama 72 jam.

Xiaomi turut memperkenalkan fungsi Underwater Mode buat pertama kali dalam siri REDMI Note.

Bagi aspek ketahanan fizikal, REDMI Note 17 Pro Max 5G dan REDMI Note 17 Pro 5G diuji mampu menahan jatuhan sehingga tiga meter ke permukaan granit serta dilindungi kaca Corning Gorilla Glass Victus 2 bagi meningkatkan rintangan terhadap hentakan dan calar.

Keseluruhan siri REDMI Note 17 turut menerima sehingga enam tahun kemas kini keselamatan, manakala model terpilih menawarkan jaminan kesihatan bateri sehingga enam tahun bagi memastikan pengalaman penggunaan kekal lancar dalam tempoh yang lebih panjang.

Scroll to Top