Fahmi juara Akademi Qurra' musim pertama

Fahmi juara Akademi Qurra' musim pertama

sudirman@hmetro.com.my

 

Kuala Lumpur: Tilmiz Fahmi, 23, atau nama sebenarnya Muhamad Nurfahmi Zainal diangkat juara Akademi Qurra’ musim pertama disiarkan di TV AlHijrah, semalam.

Kemenangan itu melayakkan Fahmi dari Negeri Sembilan membawa pulang hadiah wang tunai RM25,000.

Sementara itu, Tilmizah Nooraini, 40, atau Nooraini Abdullah menduduki tempat kedua yang membawa pulang RM15,000 manakala Tilmizah Maghfirah, 19, atau Nik Maghfirah Nik Abd Rahman Zaki ketiga menerima RM10,000.

Fahmi berkata, dia pada mulanya tidak menjangka akan kemenangan ini melihatkan saingan sengit dari rakan peserta lain.

“Saya memang tidak jangka akan membawa gelaran juara Akademi Qurra’ musim pertama. Bagaimanapun dengan kemenangan ini saya mahu memperluaskan lagi pengetahuan al-Quran kepada mereka di luar sana.

“Saya juga ingin berterima kasih kepada ibu bapa, keluarga dan mereka yang disekeliling saya. Selain itu pihak produksi Akademi Qurra’ selama lapan minggu ini banyak memberi tumpuan kepada tahap kesihatan peserta. Bagi saya suara yang sedap adalah melalui tubuh badan yang sihat,” katanya.

Menurut Fahmi yang mula mengenali ilmu bertarannum seawal usia enam tahun, dia mahu menggunakan wang kemenangan itu bagi membantu anak-anak muda di luar sana dalam menguasai al-Quran.

“Wang kemenangan ini akan diberikan kepada ibu bapa dan selebihnya akan saya gunakan dalam membantu anak-anak muda di luar sana. Lebih mulia apabila kita juga akan bertemu dengan bulan Ramadan tidak lama lagi,” katanya.

Pentas akhir Akademi Qurra’ menyaksikan Tilmiz Zuhdi, 25, atau nama sebenarnya Muhammad Nur Zuhdi Mohd Daud dan Tilmiz Akasyah, 18, atau Muhammad Akasyah Md Yunos masing-masing di kedudukan keempat dan kelima.

Melihat peningkatan prestasi peserta sebagai elemen penting dalam pertandingan ini, menurut juri tetap Akademi Qurra’ Ustaz Ahmad Tarmizi Abdul Rahman, secara keseluruhannya markah yang diperoleh peserta pada pentas akhir cukup mengejutkan.

“Ada peserta yang dianggap boleh mendapat markah tertinggi namun gagal diterjemahkan dan sebenarnya inilah realiti sebuah pertandingan.

“Dalam tempoh beberapa minit itulah yang diberi itu adalah medan mereka untuk dinilai, sepanjang lapan minggu ini masih ada peserta yang gagal menguasai tajwid dan kemahiran mengolah tarannum dengan baik,” katanya.

Sementara itu, melihat sambutan baik terhadap program yang julung kali diadakan ini, Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris, berkata beliau tidak menolak ada pembaharuan yang akan dibuat dalam memastikan program ini kekal relevan untuk tempoh panjang.

Program ini dihoskan oleh Fakhrul UNIC dan diadili sepenuhnya oleh juri tetap iaitu Ustaz Ahmad Tarmizi Abdul Rahman, Qari Muhammad Qayyim Nizar dan juri jemputan berbeza pada setiap minggu.

Manakala, Mudarris dan Mudarrisah yang menjadi tulang belakang membimbing semua peserta pula ialah Ustaz Ammar Mukhlis, Ustazah Farhatul Fairuzah dan Ustazah Soufizah Mousin.

Turut hadir pada pentas akhir program itu ialah Menteri Agama, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

© New Straits Times Press (M) Bhd