Fakulti Bahasa & Linguistik, Fakulti Pergigian UM sambut Jubli Emas

KUALA LUMPUR – Fakulti Bahasa & Linguistik dan Fakulti Pergigian Universiti Malaya (UM) buat julung-julung kalinya menyambut ulang tahun penubuhannya yang ke-50.

Sempena sambutan Jubli Emas itu, kedua-dua fakulti itu mengadakan Majlis Santapan Malam Diraja di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Majlis itu dihadiri oleh Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Sultan Azlan Muhibuddin Shah Al-Maghfur-Lah, Canselor Universiti Malaya.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah beberapa Duta di Malaysia, Ahli Lembaga Pengarah Universiti Malaya, Naib Canselor Universiti Malaya, pensyarah dan alumni bagi kedua-dua fakulti iaitu Fakulti Bahasa dan Linguistik & Fakulti Pergigian.

Acara kemuncak majlis ini adalah penyampaian Anugerah Ikon untuk Fakulti Bahasa dan Linguistik & Fakulti Pergigian.

Datuk Profesor Emeritus Dr. Hashim Yaacob dipilih sebagai penerima Anugerah Ikon bagi Fakulti Pergigian, mengambil kira pencapaian dan kedudukannya berbanding calon-calon yang lain yang pernah berkhidmat di Fakulti Pergigian.

Hashim pernah menjawat jawatan sebagai Naib Canselor di lima buat universiti iaitu Universiti Malaya, International College of Nursing, Kuala Lumpur Metropolitan University College, Quest International University Perak dan Meritus University Malaysia.

Dr. Hashim Yaacob menerima Anugerah Ikon Fakulti Pergigian UM daripada Sultan Nazrin Shah.

Beliau juga pernah menjawat jawatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Universiti Malaya dan juga pernah memegang jawatan sebagai Dekan Fakulti Pergigian, Universiti Malaya pada tahun 1987-1989, dan 1994-2001.

Selain daripada itu, beliau adalah felo Royal College of Surgeons of England, Felo Royal College of Pathologist of United Kingdom, Felo Pengasas Australasian Royal College of Pathologist of Australia, Felo Akademi Sains Malaysia, Chartered Member Institute of Biology United Kingdom.

Minatnya yang mendalam dalam bidang sastera dan seni telah dimanfaatkan melalui penerbitan lima buah antologi puisi iaitu Air Penawar Sekacang Kelat, Air Manik Astagina, Misi Tanah Serendah Sekebun Bunga dan Aku Hanya Mahu Ke Seberang (memenangi hadiah Sastera Perdana Malaysia tahun 2001/2002) Beliau adalah juga seorang pelukis dan Dalang Wayang Kulit.

Manakala penerima Anugerah Ikon Fakulti Bahasa dan Linguistik pula ialah Profesor Emeritus Datuk Dr. Asmah Omar.

Beliau merupakan pengasas Pusat Bahasa Universiti Malaya yang mana hari ini dikenali sebagai Fakulti Bahasa dan Linguistik.

Asmah Beliau pernah menyandang jawatan sebagai Pengarah Pusat Bahasa dari tahun pertama penubuhan iaitu 1972 sehingga 1995 dan jawatan dekan Fakulti Bahasa dan Linguistik dari tahun 1995 sehingga 2000 dan menerima Ijazah Kedoktoran dari University of London dalam bidang ‘General Linguistics’.

Pada tahun 2000,Asmah menerima anugerah gelaran Doktor Persuratan dari Universiti Malaya kerana sumbangannya yang amat besar dalam bidang kesarjanaan ilmu linguistik di Malaysia.

Beliau juga merupakan pakar nahu Bahasa Melayu dan tokoh terkenal dalam bidang perancangan bahasa serta Profesor Kerusi Tamadun Melayu Za’ba dan Pengarah Institut Tamadun Melayu di Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim, Perak.

Selain daripada kerjayanya sebagai ahli akademik, beliau juga terkenal sebagai penulis prolifik dalam bidang tatabahasa Melayu dan perancangan bahasa Melayu. Penyelidikan utamanya termasuklah huraian bahasa-bahasa Aslian, khususnya bahasa Kentakbong (Baling, Kedah) dan bahasa Mah Meri (Sepang, Selangor) serta sosiolinguistik, etnolinguistik, dan linguistik sejarah Dunia Melayu.

Bagaimanapun, bidang penyelidikannya tidak terhad kepada Semenanjung Malaysia.

Beliau juga menjalankan banyak penyelidikan tentang bahasa-bahasa orang asli di Sabah dan Sarawak, juga telah menerbitkan banyak makalah tentang bahasa-bahasa tersebut tetapi dua pencapaiannya yang terutama daripada segi ini merupakan The Iban Language of Sarawak: A Grammatical Description (Bahasa Iban Sarawak: Huraian Kenahuan), merupakan sebuah tesis kedoktoran yang diserahkan kepada University of London pada tahun 1969 dan diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1981 dan The Malay Peoples of Malaysia and Their Languages (Orang Melayu Malaysia dan Bahasa-bahasanya). – MalaysiaGazette