Fakulti Pengurusan Haji dan Umrah bakal diperluas ke universiti awam – Adam Adli

Fakulti Pengurusan Haji dan Umrah bakal diperluas ke universiti awam – Adam Adli

SHAH ALAM – Beberapa universiti awam akan membuka Fakulti Pengurusan Haji dan Umrah susulan perkembangan positif bidang berkenaan yang kini semakin mendapat perhatian institusi pendidikan tinggi negara.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Adam Adli Abdul Halim berkata, langkah tersebut membuktikan bidang pengurusan haji dan umrah bukan sahaja mendapat pengiktirafan daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), malah turut diiktiraf dari sudut keperluan industri dan nilai ekonomi.

Menurut beliau, pembukaan fakulti baharu dalam universiti lazimnya berkait rapat dengan permintaan industri serta peluang pekerjaan yang tersedia kepada graduan.

“Kalau tidak ada keperluan industri, selalunya susah untuk kita lihat sesuatu bidang baharu dibuka dalam universiti,” katanya pada sidang media selepas Pelancaran Fakulti Pengurusan Haji dan Umrah YEG dan Innovative University College (IUC) di Pusat Konvensyen Shah Alam pada Sabtu.

Beliau berkata, sejak mula diperkenalkan pada tahun 2019, Fakulti Pengurusan Haji dan Umrah berjaya melahirkan lebih 1,000 graduan yang kini berkhidmat dalam pelbagai agensi haji dan umrah serta sektor berkaitan.

Katanya, program pengajian yang ditawarkan bukan sahaja melibatkan latihan kemahiran dan sijil profesional, malah sudah berkembang sehingga ke peringkat doktor falsafah (PhD).

Adam Adli berkata, perkembangan tersebut merupakan satu pencapaian penting memandangkan industri haji dan umrah melibatkan mobiliti manusia di seluruh dunia dan tidak terhad kepada rakyat Malaysia sahaja.

“Kepakaran yang dilahirkan melalui sistem pendidikan tempatan berpotensi dimanfaatkan di peringkat antarabangsa termasuk dalam sektor pelancongan ibadah global.

“Penawaran program itu juga selari dengan visi Kerajaan Arab Saudi untuk meningkatkan kapasiti jemaah haji dan umrah pada masa depan,” jelasnya.

Tambahnya lagi, pelancongan ibadah kini dilihat sebagai antara peluang ekonomi besar kepada Malaysia kerana sektor tersebut mempunyai pasaran global yang luas.

“Malaysia selama ini sering diiktiraf sebagai antara negara yang mempunyai sistem pengurusan haji dan umrah yang profesional, tersusun serta berinstitusi “Pengiktirafan tersebut tidak datang secara kebetulan sebaliknya lahir daripada pembangunan modal insan dan sistem pendidikan khusus dalam bidang berkaitan,” ujarnya.

Katanya, industri haji dan umrah memerlukan lebih ramai tenaga kerja mahir dan berkemahiran tinggi bagi memenuhi permintaan sektor berkenaan yang semakin berkembang.

“Kalau tidak ada tenaga kerja berkemahiran dan pendidikan yang tersusun, industri ini sukar untuk berkembang dengan lebih baik,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan setiap kursus yang ditawarkan perlu melalui proses penarafan dan pengiktirafan MQA bagi memastikan kualiti pendidikan serta masa depan pelajar lebih terjamin selain mengelakkan isu sijil tidak diiktiraf atau kesukaran mendapatkan pekerjaan selepas tamat pengajian.

 

 

Scroll to Top